Kerajaan perlu gubal undang-undang bendung kebencian kaum dan agama, kata aktivis


Ravin Palanisamy

Satu undang-undang baharu perlu digubal bagi melindungi melindungi perpaduan dan keharmonian antara rakyat, kata kumpulan persatuan sivil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2022.

KERAJAAN baharu perlu memulakan usaha untuk menggubal undang-undang bagi menguruskan kebencian kaum dan agama bertujuan melindungi perpaduan dan keharmonian antara rakyat, kata kumpulan persatuan sivil.

Presiden Yayasan Hak Asasi Manusia Global S. Shashi Kumar berkata ia akan menjadi undang-undang penting untuk melindungi semua kaum dan agama daripada hinaan dan cercaan dalam negara majmuk berbilang bangsa ini.

“Jika mereka mahu melihat Malaysia berkembang, membangun dan bersatu, maka kita sangat berharap kerajaan membentangkan rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan kebencian agama dan kaum.

“Ia perlu dibentangkan bagi melindungi perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Walaupun wujud undang-undang perlindungan di Malaysia, contohnya Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berdasarkan kepada agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina, diskriminasi terhadap golongan minoriti tetap berlaku, kata Shashi kerana ia tidak mencegah orang ramai membuat komen sensitif berkenaan kaum dan agama.

Beliau berkata golongan minoriti di Malaysia antara yang paling terjejas akibat kenyataan sensitif terhadap mereka.

Shashi mendakwa selain beberapa segmen dalam masyarakat awam, pendakwah agama juga mencetuskan ucapan kebencian dan sering terlepas daripada tindakan.

“Memperkenalkan RUU kebencian agama dan kaum akan menghalang semua orang, terutama pendakwah daripada bercakap buruk tentang agama lain.

“Tidak kira siapa pun pendakwah itu, ia bukan hak mereka untuk bercakap tentang agama lain di negara ini.

“Cakap tentang agama sendiri saja, tidak perlu bercakap atau bandingkan agama,” katanya.

Antara nama pendakwah yang disentuh Shashi ialah Syakir Nasoha, Idris Sulaiman, Zamri Vinoth Kalimuthu dan Firdaus Wong Wai Hung. – 8 Disember, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen