SPRM panggil Tengku Zafrul, KJ, Muhyiddin kes seleweng dana RM600 bilion


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dijangka dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkait penyelewengan dana RM600 bilion ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil Tengku Zafrul Abdul Aziz bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM600 bilion, lapor Getaran.

Selain bekas menteri kewangan tersebut, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin juga akan dipanggil, menurut portal berita itu yang memetik sumber.

Siasatan tersebut dibuat selepas wujud dakwaan penyelewengan di bawah pentadbiran Muhyiddin ketika Malaysia dilanda pandemik Covid-19.

Ketika itu, Tengku Zafrul memegang jawatan menteri kewangan sebelum disambung semula di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau kini dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin, Khairy memegang portfolio menteri sains dan teknologi sebelum dilantik sebagai menteri kesihatan oleh Ismail Sabri.

Semalam, SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan perkara itu namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan.

“Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pernah dibangkitkan oleh bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari pada 15 November lepas.

Kelmarin Anwar berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu penyelewengan itu.

Menurut Anwar, Kementerian Kewangan memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

Muhyiddin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. – 7 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen