Stor Kementerian Kewangan terbakar


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bomba Putrajaya telah mengerahkan tiga jentera dengan 23 anggota ke lokasi kejadian di stor sisa pukal dan penyelenggaraan di Kementerian Kewangan sekitar pukul 2 petang tadi. – Gambar JBPM Putrajaya, 6 Disember, 2022.

STOR sisa pukal dan penyelenggaraan di Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya dilaporkan terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya berkata panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.34 petang.

“Sebaik menerima panggilan, tiga jentera dengan 23 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran disedari seorang kakitangan MOF yang berada di ruang parkir aras berkenaan selain dikesan oleh Sistem Pepasangan Keselamatan Kebakaran (PKK) jenis ‘pengesan asap’ yang menyebabkan penggera berbunyi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Putrajaya dan Unit Pengesan K9 turut digunakan bagi melaksanakan siasatan mengenal pasti sumber nyalaan yang menjadi punca kebakaran selain anggaran kerugian. – Gambar JBPM Putrajaya, 6 Disember, 2022.

Menurutnya, tindakan awal oleh Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) bangunan berkenaan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke stor bersebelahan.

“Anggota dan jentera yang tiba kemudian meneruskan pemadaman api hingga dipadamkan sepenuhnya pada pukul 3.39 petang.

“Akibat kebakaran itu, ruang stor dipenuhi asap tebal dan pengudaraan menggunakan kipas ‘extractor’ dilakukan bagi mengeluarkan asap yang memenuhi ruangan stor itu.

“Pasukan turut membuat ‘overhaul’ bagi memastikan tiada lagi sumber api yang mungkin wujud di tempat kejadian sebelum menamatkan operasi,” katanya.

Katanya, Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Putrajaya dan Unit Pengesan K9 turut digunakan bagi melaksanakan siasatan mengenal pasti sumber nyalaan yang menjadi punca kebakaran selain anggaran kerugian.

“Tiada mangsa atau kemalangan jiwa dikesan berlaku dalam kejadian itu,” katanya. – 6 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen