PERBALAHAN sesama sendiri dalam Barisan Nasional di Selangor adalah punca kenapa gabungan pemerintah itu kalah di selangor selama dua penggal, akui Perdana Menteri Najib Razak.
Najib berkata, pembangkang dapat mengambil alih negeri paling kaya itu kerana ahli parti BN bergaduh sesama sendiri.
“Saya tahu Selangor ini ada penyakit. Kita mesti hapuskan penyakit ini,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera pilihan raya BN di Ulu Yam, Selangor.
“Bukan sebab kita tak kuat, tetapi anda tahu apa kita buat? Kita kerat kaki sendiri, kemudian kita tembak kaki sendiri. Sebab apa? Sebab kita nak naik sendiri, bukan sebab parti,” katanya.
Tambah Najib, beliau tidak mahu ahli parti BN bergaduh sesama sendiri seperti yang terjadi dalam Pakatan Harapan.
“Kita tahu tidak ada kesefahaman (dalam PH). Mereka bergaduh sesama sendiri. Kita sedia maklum PH tidak mahu bekerjasama dengan PAS. Tetapi di belakang, mereka bekerjasama dengan PAS,” ujar Najib.
Selain itu, memetik projek MRT, Najib turut berkata yang pembangunan di Kuala Lumpur dan Selangor tidak boleh dipisahkan.
“Jangan fikir kita akan dapat masa hadapan yang lebih baik kalau kita berpecah (pembangunan antara) Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Tambah Najib, Umno akan menerima mana-mana calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 asalkan ianya mewakili BN.
“Jika Umno menang, atau MCA atau MIC menang, atau mana-mana parti komponen menang, BN (juga akan) menang.
“Saya tak mahu kita bergaduh sesama sendiri. Persoalannya, kita akan terima sesiapa sahaja calon asalkan calon itu dari BN.
“Jangan pula kita boikot atau sabotaj calon. Ini bukan masanya. Kalau kita buat begitu, kita akan kalah buat kali ketiga,” ujar Najib.
Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata calon BN akan ditapis oleh sebuah unit khas di bawah parti pemerintah itu yang dibantu oleh beberapa agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beberapa hari selepas kenyataan Zahid itu, SPRM mengesahkan yang agensi itu telah menerima senarai nama calon yang dikemukakan BN untuk tujuan saringan awal menjelang PRU14. – 7 Mac, 2018.
Komen