SPRM buka kertas siasatan isu dana RM600 bilion


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan. 

“Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas. 

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pernah dibangkitkan oleh bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu. 

Menurut Anwar, Kementerian Kewangan memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. – Bernama, 6 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen