KAPAL layar mewah Equanimity yang ditahan polis Indonesia di Bali dimiliki oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low adalah contoh berita palsu yang disebarkan oleh pembangkang, kata ahli Parlimen Barisan Nasional, Bung Moktar Radin.
Bung Moktar berkata pembangkang sudah terlalu banyak menyebar fitnah dan menipu rakyat, termasuklah mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kapal layar mewah itu.
“Inilah contoh pembangkang suka sebar berita palsu. Mana mahkamah sahkan kapal ini milik rakyat Malaysia.
“Pembangkang memang pembuyuk! (pembohong),” katanya semasa berucap membahaskan titah ucapan diraja pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dokumen perundangan yang difailkan oleh DoJ sebelum ini bagaimanapun mengaitkan Jho Low dengan kapal pesiar itu dan media melaporkan beliau “mungkin terjejas kepentingannya” berikutan tindakan polis Indonesia menyita kapal berkenaan.
Bung berkata demikian ketika menjawab kenyataan ahli Parlimen Batu, Tian Chua daripada PKR yang menyindir rakyat Malaysia “kaya” sehingga mampu memiliki kapal pesiar Equanimity.
Kenyataan Bung itu mencetuskan pertelingkahan antara ahli-ahli Parlimen BN dan Pakatan Harapan (PH) yang berlanjutan selama hampir sejam.
Beliau mendakwa hingga ke hari ini pembangkang hanya tahu melakukan fitnah dan bukan membongkarkan skandal.
“Yang bongkar ketirisan semua, Felda, NFC (National Feedlot Center) bukan pembangkang. Yang bongkar kita, kerajaan dengan laporan Ketua Audit Negara,” katanya.
Bung turut mengutuk Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang beliau dakwa langsung tidak mempedulikan rakyat Sabah, khususnya di kawasan beliau di pedalaman negeri itu.
“Saya mahu cerita. Tahun 1999, tiada satu pun jalan bertar di tempat saya, Kinabatangan. Itu di bawah pemerintahan Dr Mahathir, sekarang ketua pembangkang.
“Sekarang, beribu-ribu jalan di Kinabatangan sudah ditar di bawah pemerintahan Pekan.
“Inilah susah… orang yang kita sudah tak mahu pakai, pembangkang mahu pakai,” kata beliau lagi.
Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Shamsul Iskandar Md Akin (PKR-Bukit Katil) dan Teresa Kok (DAP-Seputeh) kemudiannya bertalu-talu mempersoalkan tuduhan beliau dan pertanyaan mengapa Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dirahsiakan hingga ke hari ini.
Bung kemudiannya membalas dan mengatakan pembangkang sebagai hipokrit dalam hal itu kerana pernah meminta Dr Mahathir disiasat dalam skandal bank penyelewengan sewaktu menjadi perdana menteri dahulu.
“Dulu 2013, Gelang Patah (Lim Kit Siang) jerit siasat Dr Mahathir. Sekarang sudah cium mulut.
“Seputeh juga sekarang ganding tangan dengan Dr Mahathir. Berputar 380 darjah” katanya, merujuk kepada Teresa.
Minggu lalu pihak berkuasa Indonesia, bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), merampas kapal layar yang dikaitkan dengan Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho di Bali.
Low melalui jurucakapnya berkata tindakan itu sebagai keterlaluan kerana DoJ masih belum membuktikan ada sebarang salah laku terkait dengan kapal pesiar itu.
Kapal layar bernilai RM1 bilion itu didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada syarikat pelaburan negara itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak berkata, tiada bukti dana daripada 1MDB digunakan untuk pembelian kapal terbabit. – 7 Mac, 2018
Komen