Jangan cabar, memang ada pelanggaran peraturan, kata Anwar kepada Muhyiddin


Menteri Kewangan Anwar Ibrahim menegaskan bukan hasratnya mahu mencari salah pentadbiran sebelum ini tetapi semakan itu terpaksa dilakukan kerana kerajaan dicabar untuk membuktikannya. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 6 Disember, 2022.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menegaskan ada pelanggaran peraturan dalam beberapa perolehan kerajaan yang dibuat semasa Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri dan pihaknya akan meneliti semula perkara itu.

Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan semula bukan hasratnya mahu mencari salah pentadbiran sebelum ini tetapi semakan itu terpaksa dilakukan kerana kerajaan dicabar untuk membuktikannya.

“Saya nak beri peringatan kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar kerana memang ternyata ada beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi dan ada beberapa syarikat yang berkepentingan atau terkait dengan keluarga juga terlibat.

“Saya ingin jelaskan, bukan maksud saya (untuk dedahkan). Saya hendak tumpu perhatian mengurus negara, memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi kebajikan kepada rakyat.

“Tetapi sebaik dicabar, kita terpaksa melihat. Kalau boleh dihentikan, kita hentikan,” katanya pada sidang media selepas melapor diri di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini. 

Muhyiddin semalam berkata sedia disiasat atas dakwaan beliau dan pentadbirannya menyeleweng duit sehingga RM600 bilion semasa jadi kerajaan.

Bekas perdana menteri menegaskan duit berkenaan bukan duit kerajaan tetapi wang individu dan bank “yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan”.

“Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Mengenai perkara itu, Anwar berkata apa yang disebut oleh Muhyiddin itu adalah perkara sama yang beliau bangkitkan di Dewan Rakyat semasa jadi ketua pembangkang.

Ketika itu Anwar menyifatkan pentadbiran Muhyiddin cuba mengelirukan rakyat apabila memasukkan sekali bantuan bukan fiskal seperti kebenaran pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman bank sebagai bantuan kerajaan yang bernilai sehingga hampir RM600 bilion.

“Itu saya sudah ulas dua tahun lalu di Parlimen, seolah-olah satu usaha mengelirukan. Sekarang baru diakui bukan, kerana wang itu wang KWSP dan wang bank melalui keputusan moratorium.

“Tetapi ada berpuluh-puluh bilion lain yang diperuntukkan yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan,” tambah Anwar.

Tegas Anwar, pentadbiran kerajaan sebelum ini mendakwa mereka bersih tetapi apa yang berlaku bertentangan dengan apa yang mereka dakwa.

“Tidak bersih sama sekali,” katanya. –  6 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen