Fahmi Fadzil mula tugas rasmi menteri komunikasi digital


Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai antara 14 muka baharu dalam barisan Kabinet kerajaan perpaduan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Disember, 2022.

MENTERI Komunikasi Digital Fahmi Fadzil memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital di Putrajaya hari ini.

Beliau tiba di kementerian tersebut pada 12.15 tengah hari dan disambut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital Mohammad Mentek, selepas menghadiri mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Fahmi, 41, melakukan imbasan di mesin kedatangan sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu secara rasmi dan kemudiannya menghadiri sesi penyerahan nota serah tugas daripada Mohammad.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Ma. Sivanesan, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, Ketua Pengarah Penerangan Mohd Sukari Ab Hamid dan Ketua Pengarah Penyiaran Che Roslan Che Daud.

enteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil melakukan imbasan di mesin kedatangan sebagai tanda memulakan tugas di Kementerian Komunikasi Digital secara rasmi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Disember, 2022.

Fahmi juga menghadiri sesi taklimat mengenai Kementerian Komuniasi Digital yang dikendalikan oleh Mohammad dan dihadiri pihak pengurusan tertinggi kementerian serta ketua-ketua jabatan.

Fahmi sebelum ini dilaporkan akan memberi tumpuan utama kepada isu akses Internet termasuk roll-out 5G dan capaian di luar bandar serta keselamatan data peribadi bagi menangani penipuan dalam talian (scam).

Fahmi yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai itu adalah antara 14 muka baharu dalam barisan Kabinet kerajaan perpaduan.

Sebelum berkecimpung dalam arena politik, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat itu bergiat aktif dalam seni kreatif dan persembahan sebagai penulis serta pelakon teater. – Bernama, 5 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen