Siasatlah, duit RM600b bukan duit kerajaan, kata Muhyiddin


Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak takut untuk disiasat atas dakwaan beliau dan pentadbirannya menyeleweng duit sehingga RM600 bilion semasa jadi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2022.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak takut untuk disiasat atas dakwaan beliau dan pentadbirannya menyeleweng duit sehingga RM600 bilion semasa jadi kerajaan.

Muhyiddin sekali lagi menegaskan duit berkenaan bukan duit kerajaan tetapi wang individu dan bank “yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan”.

“Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook

Muhyiddin mengeluarkan kenyataan mengulas laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan dari Amanah minggu lalu. Selepas membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi, Sany juga menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) menyiasat perkara itu.

Tuduhan penyelewengan itu juga disuarakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi Digital dan Ketua Penerangan Umno yang baru dilantik Isham Jalil.

Menurut Muhyiddin, beliau hairan dari mana datangnya tuduhan melibatkan RM600 bilion itu.

“Saya tidak pasti dari mana angka ini dipetik. Saya agak ia merujuk kepada lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang saya laksanakan semasa saya menjadi perdana menteri untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemik,” katanya.

Pakej itu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan antaranya termasuk pengeluaran yang dibenarkan kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang keseluruhannya bernilai RM145 bilion serta moratorium pinjaman bank bernilai RM180 bilion.

“Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“Saya sebagai perdana menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini,” katanya.

Malah kata Muhyiddin, tiada satu sen pun daripada wang itu serta wang daripada suntikan fiskal kerajaan yang masuk ke akaun peribadinya.

“Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya,” katanya.

Sekiranya itu berlaku, ia sudah tentu dapat dikesan oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara kerana ia bukan perkara kecil, tambahnya.

“Malah Bank Negara Malaysia tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun saya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu. Tetapi tidak ada apa-apa pun,” katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan Malaysia ada sistem pentadbiran yang cekap yang boleh mengesan perbelanjaan yang mencurigakan dan menanganinya melalui tindakan undang-undang.

Kepada ahli politik PH dan Umno, Muhyiddin mengingatkan mereka supaya berhentilah daripada melemparkan tuduhan yang bukan-bukan untuk menutup kelemahan kerajaan yang mereka bentuk bersama.

“Masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Awak dah jadi kerajaan, jadilah macam kerajaan.

“Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan jemaah menterinya pada Jumaat. Mereka yang mengangkat sumpah pada Sabtu hari ini memulakan tugas di pejabat masing-masing di Putrajaya. – 5 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen