Kempen mewah Perikatan tenggelamkan Umno di Kelantan, Terengganu, kata pimpinan negeri


Diyana Ibrahim

Pemimpin Umno di Kelantan dan Terengganu mendakwa PN berbelanja besar termasuk tindakan kerajaan negeri menyalurkan pelbagai bantuan segera kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2022.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tenggelam di Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antaranya kerana kempen Perikatan Nasional (PN) yang dilihat mewah dan berbelanja dengan luar biasa, kata jentera parti negeri.

Pemimpin Umno di Kelantan dan Terengganu mendakwa PN berbelanja besar termasuk tindakan kerajaan negeri menyalurkan pelbagai bantuan segera kepada rakyat. Mereka menyifatkan tindakan itu mempengaruhi pengundi kumpulan atas pagar dan muda, yang menyebabkan BN kalah di semua kerusi Parlimen di dua negeri itu.

Ketua Penerangan Umno Terengganu Nik Dir Nik Wan Ku berkata walaupun ada banyak faktor lain kenapa prestasi BN buruk di pantai timur pada PRU15, faktor utama ialah masalah duit.

“Kita tak punya dana yang cukup berbanding PN yang kita lihat cukup luar biasa peruntukan mereka. Masa Umno jadi kerajaan pun kita tak buat sepertimana dibuat PN.

“Kalau kita tengok masa PRU15, kerajaan negeri cepatkan pelbagai bantuan one off, untuk belia, untuk warga emas, untuk perantau. Tambah yang parti bagi, ada pengundi luar boleh dapat sampai RM500 seorang.

“Jadi pengaruh duit itu main peranan besar sebabkan Umno dan BN hilang semua kerusi Parlimen di Terengganu,” katanya.

Selain faktor duit, Nik Dir mengakui perbalahan dalam kalangan pimpinan Umno di pusat juga menyebabkan pengundi menolak parti itu kerana bosan dengan “drama yang tidak berkesudahan”.

“Perbalahan dalaman pimpinan Umno di peringkat pusat turut menjejaskan kita, menyebabkan kita ditolak pengundi atas pagar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nik Dir menafikan masalah antara pemimpin di Kuala Lumpur menyebabkan akar umbi parti yang tidak puas hati mengundi menolak Umno atau membuat protes senyap atas perpecahan dalaman parti.

Katanya, ahli Umno di akar umbi masih kuat menyokong parti dan mereka setia kepada presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau memberi contoh bagaimana Umno yang mempunyai 28,000 ahli di Marang mampu mendapat lebih 31,000 undi untuk kawasan pilihan raya itu. Marang dimenangi presiden PAS Abdul Hadi Awang dengan majoriti lebih 41,000, bertambah hampir sekali ganda daripada PRU14.

“Umno cuma gagal dapat undi daripada golongan muda dan atas pagar,” katanya.

Ketua Penerangan Umno Terengganu Nik Dir Nik Wan Ku berkata ahli Umno di akar umbi masih kuat menyokong parti dan mereka setia kepada presiden Ahmad Zahid Hamidi.

BN yang menang dua kerusi parlimen di Terengganu pada PRU14 kalah di kesemua lapan kerusi parlimen di negeri itu pada pilihan raya umum 19 November lepas. BN juga kalah semua 14 kerusi parlimen di Kelantan, yang disapu bersih oleh PAS.

Kemenangan besar PAS itu menumbangkan nama-nama besar pimpinan Umno negeri antaranya pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said yang juga bekas menteri besar dan pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob.

Menurut Nik Dir, Umno Terengganu akan melihat terlebih dahulu perkembangan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran perdana menteri Anwar Ibrahim sebelum merangka strategi untuk menghadapi pilihan raya negeri yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun depan.

Terengganu adalah antara enam negeri yang belum mengadakan pilihan raya negeri, termasuk Kedah dan Kelantan yang ditadbir PAS serta Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan bawah PH.

“Kita masih belum ada lagi mesyuarat sebab nak tengok dulu hala tuju kerajaan pusat. Walaupun Umno BN sebahagian dalam kerajaan tapi kita masih tak tahu dan tidak jelas hala tuju parti kita dalam kerajaan baharu ini,” katanya, merujuk pembentukan kerajaan gabungan di Putrajaya.

Nik Dir berkata Umno dan BN negeri akan cuba meneliti kekalahan mereka pada PRU15 menjelang Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur bermula 21 Disember ini. Mesyuarat persiapan untuk PRN pula katanya akan dibuat pada Januari nanti.

Kalah sebab duit

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Zaki Muhammad juga mengakui Umno dan BN tidak mampu menyaingi pengaruh wang yang digunakan PN pada pilihan raya umum lepas.

Namun beliau yakin Umno dan BN akan ada kelebihan pada pilihan raya negeri nanti selepas PN gagal jadi kerajaan di Putrajaya.

“Kita jangkakan taburan wang PN semasa PRN tidak sebesar seperti PRU15,” katanya.

Secara khusus juga, Zaki berkata prestasi buruk Umno dan BN di Kelantan turut disebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah di beberapa kawasan antaranya Gua Musang, Jeli, Rantau Panjang, dan Pasir Mas, iaitu sekitar 60-70%.

“Kebanyakannya di kawasan yang agak jauh ke pedalaman, tapi kita yakin tidak ada penolakan atau undi protes akar umbi.

“Mungkin juga kerana calon yang tidak tepat, calon kurang digemari, tapi itu tidak menggambarkan keadaan keseluruhan,” katanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Zaki Muhammad juga mengakui Umno dan BN tidak mampu menyaingi pengaruh wang yang digunakan PN pada pilihan raya umum lepas. . – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2022.

Kerjasama BN, PH

Mengenai kerjasama BN dan PH sekarang, Zaki berkata akar umbi parti lebih selesa bekerjasama dengan PH berbanding dengan PN, yang diterajui PAS di pantai timur.

“Akar umbi ini tak nak dengan PN, tapi bila kerajaan perpaduan dengan PH ini saya dapat banyak reaksi kata mereka gembira, siap ada telefon saya kata nak buat majlis kesyukuran.

“Tapi saya kata tunggu dulu, sebab kita tengok dulu kedudukan Umno dan BN dalam kabinet,” katanya.

Anwar melantik Ahmad Zahid sebagai timbalan perdana menteri merangkap menteri kemajuan desa dan wilayah. Empat lagi pemimpin Umno turut dilantik menteri iaitu Mohamad Hasan (pertahanan), Zambry Abd Kadir (luar negeri), Azalina Othman Said (undang-undang dan reformasi institusi), dan Tengku Zafrul Aziz (perdagangan antarabangsa dan industri).

Sementara itu, seorang ketua bahagian Umno yang tidak mahu dinamakan berkata Umno akan berdepan laluan sukar pada pilihan raya negeri nanti kerana kerjasamanya dengan PH akan menguntungkan PN.

“Kita tengok dulu apa keputusan di Padang Serai dan Tioman. Dari situ kita boleh baca, cuma sekarang ini masih kabur,” katanya, merujuk pilihan raya yang akan diadakan Rabu ini.

Padang Serai dan Tioman tidak mengundi pada 19 November lalu kerana ditangguhkan sehingga 7 Disember. – 5 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen