NISBAH hutang-berbanding-Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang rendah berbanding negara lain bukan jaminan yang situasi hutang Malaysia dalam keadaan baik, kata pakar ekonomi.
Jarren Tam, yang merupakan pakar analisis dasar di Pusat Pengajian Dasar Awam (SPP), berkata perbandingan hutang-berbanding-KDNK yang dibuat Perdana Menteri Najib Razak dengan negara Jepun yang mempunyai nisbah lebih tinggi, sebagai contoh, untuk membuktikan ekonomi Malaysia baik, adalah tersasar.
Di jepun, ketika KDNK mereka menguncup, negara berkenaan mempunyai nisbah hutang-berbanding-KDNK tinggi untuk lebih sedekad tanpa pemiutang hilang keyakinan terhadap negara itu untuk membayar balik hutangnya, kata Tam.
“Jadi jumlah hutang yang dianggap ‘terlalu banyak’ adalah khusus kepada negara dan mesti berdasarkan situasi fiskal sesebuah negara,” kata Tam kepada Malaysian Insight.
Beliau berkata, perbandingan yang dibuat Najib dengan nisbah hutang-berbanding-KDNK Singapura yang bernilai 112%, adalah tidak “sepenuhnya tepat” dalam mengukur tahap hutang negara.
Tidak termasuk hutang kerajaan yang dijamin, hutang kerajaan persekutuan Malaysia meningkat lebih 10 peratus setahun dari RM266.7 bilion pada 2007 kepada RM681.5 bilion pada 2017.
Pada kadar itu, hutang kerajaan boleh mencecah RM1 trilion menjelang 2021, RM2 trilion pada 2028 dan RM3 trilion pada 2032.
Bulan lepas, Najib berkata jumlah hutang kerajaan yang bernilai RM681.5 bilion atau 50.9 % daripada KDNK negara pada Jun 2017, adalah lebih baik berbanding negara yang mempunyai jumlah separuh daripada ekonomi Malaysia. Perbandingan dibuat dengan hutang Singapura, yang berjumlah 112% daripada KDNK negara itu.
Bagaimanapun, ahli ekonomi berkata Najib tidak menyatakan hutang yang terkumpul oleh badan kerajaan yang ditanggung kerajaan persekutuan, tetapi tidak didedahkan di Parlimen.
The Edge baru-baru ini menyatakan yang hutang badan kerajaan itu dianggarkan berjumlah RM221 bilion, atau 16.9% daripada KDNK.
“RM221 bilion adalah satu pertiga daripada jumlah hutang kerajaan, jadi jika ditambah angka itu, jumlah hutang sebenarnya mencecah 70% untuk nisbah hutang-berbanding KDNK,” kata Tam.
“Angka ini meningkat setiap tahun dan bagi menampakkan prestasi ekonomi yang di atas kertas, kerajaan memindahkan angka hutang itu ke badan berkanun.”
Tam berkata, antara contoh terdekat adalah projek Transit Aliran Massa (MRT) yang tidak disenaraikan dalam hutang kerajaan sebaliknya dalam badan berkanun DanaInfra Nasional, yang menyebabkan peningkatan 43.4% hutang yang dijamin kerajaan.
Kos pembinaan MRT boleh mencecah RM93 bilion selepas laluan MRT 3 Ampang Jaya-Sentul siap pada 2027, menurut anggaran oleh penyelidik ekuiti CIMB. – 7 Mac, 2018.
Komen