PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat menganggarkan 90% penduduk dunia kini mempunyai ketahanan terhadap Covid-19, tetapi memberi amaran varian baharu yang membimbangkan masih boleh muncul.
Jurang dalam kewaspadaan membuka ruang varian virus baharu muncul dan mengatasi Omicron yang dominan di seluruh dunia, kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
“WHO menganggarkan sekurang-kurangnya 90% penduduk dunia kini mempunyai beberapa tahap imuniti terhadap SARS-CoV-2, disebabkan jangkitan atau vaksinasi sebelum ini,” kata Tedros, merujuk kepada virus yang menyebabkan penyakit Covid-19.
“Kita lebih hampir dapat mengatakan fasa kecemasan pandemik sudah berakhir—tetapi belum sampai ke sana,” katanya kepada pemberita.
“Jurang dalam pengawasan, ujian, penjujukan dan pemvaksinan terus mewujudkan keadaan yang sempurna untuk varian baharu membimbangkan muncul yang boleh menyebabkan kematian yang signifikan.”
Hujung minggu lalu genap setahun sejak organisasi itu mengumumkan Omicron sebagai varian baharu membimbangkan dalam pandemik Covid-19, kata Tedros.
Sejak itu, ia melanda dunia, terbukti dengan ketara lebih mudah ditularkan berbanding varian sebelumnya, Delta.
Tedros berkata kini terdapat lebih 500 sub-keturunan Omicron yang sangat mudah tular—semuanya dapat mengatasi imuniti dengan lebih mudah, walaupun ia cenderung kurang teruk berbanding varian sebelumnya.
Negara di dunia melaporkan 6.6 juta kematian kepada WHO, daripada hampir 640 juta kes berdaftar. Tetapi agensi kesihatan PBB berkata terdapat sejumlah besar tidak dikira dan tidak mencerminkan jumlah sebenar.
Tedros berkata lebih 8,500 orang direkodkan maut akibat Covid minggu lalu, “yang tidak boleh diterima tiga tahun selepas pandemik, apabila kita mempunyai begitu banyak alatan untuk mencegah jangkitan dan menyelamatkan nyawa”. – AFP, 3 Disember, 2022.
Komen