Pejuang teruskan perjuangan Melayu walau tewas PRU15, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan terus memimpin parti untuk rakyat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nzir Sufari, 2 Disember, 2022.

PERJUANGAN Pejuang untuk membela dan memartabatkan masyarakat Melayu akan diteruskan walaupun parti itu tewas dalam pilihan raya umum ke-15 baru-baru ini, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri yang mengetuai gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang tidak berdaftar itu berkata anggota mereka mahu terus memperjuangkan orang Melayu kerana merasakan objektif mereka adalah murni.

“Kami memperjuangkan tadbir urus yang baik, menentang rasuah dan memperjuangkan kedaulatan undang-undang.

“Ahli Pejuang percaya mereka adalah alternatif yang baik (untuk melindungi orang Melayu) berbanding Perikatan Nasional,” katanya kepada The Malaysian Insight.

GTA yang merupakan gabungan pro-Melayu itu terdiri daripada Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Gabungan itu juga termasuk kumpulan masyarakat sivil, ahli akademik dan profesional.

Ia meletakkan 125 calon bagi kerusi Parlimen yang bertanding di bawah logo Pejuang, dan logo Putra di Kelantan, kerana Pendaftar Pertubuhan masih belum meluluskan pendaftarannya sebagai gabungan.

Bagaimanapun kesemua calonnya kalah dalam pilihan raya, akhirnya turut kehilangan wang deposit, termasuk pengerusi gabungan Dr Mahathir dan anaknya Mukhriz, yang masing-masing gagal mempertahankan kerusi di Langkawi dan Jerlun.

Ketika ditanya sama ada GTA akan terus wujud, Dr Mahathir berkata perkara ini akan dibincangkan bulan depan.

“Tetapi orang (ahli Pejuang) yang saya lihat berkata mereka mahu meneruskan kerana mereka percaya perjuangan mereka adalah sah dan terhormat.

“Ada juga profesional dan pihak lain dalam GTA yang bimbang tentang masa depan orang Melayu.”

Mengenai peranannya untuk terus memimpin Pejuang, Dr Mahathir berkata beliau dengan berat hati akan meneruskannya kerana telah diminta berbuat demikian oleh rakyat.

“Jika orang meminta bantuan, saya pentingkan diri sendiri jika mengatakan saya ingin berehat, menikmati hidup dan bersama keluarga.

“Saya tidak boleh berbuat demikian kerana orang memandang tinggi kepada saya untuk mendapatkan bantuan. Saya tidak mahu menjadi pemimpin, tetapi saya boleh memberikan idea.”

Pejuang kalah kerana Perikatan

Menjelang PRU15, Dr Mahathir berkata bahawa Pejuang mahu menjadi alternatif kepada Umno untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

“Kami berharap dapat undi mereka tetapi pengundi pergi ke Perikatan Nasional.

“Ini kerana terdapat kekeliruan mengenai gabungan kami GTA dan parti kami Pejuang.

“Kami tidak boleh menggunakan logo biasa GTA kerana kerajaan terdahulu tidak membenarkan kami didaftarkan. Jadi, kami menggunakan logo Pejuang dan itu menyebabkan kekeliruan.”

Bekas ahli Parlimen Langkawi itu berkata pengundi juga melihat bahawa Pejuang adalah parti terlalu kecil dan terlalu baru untuk menggantikan Umno.

“PN mendapat undi kerana pengundi tidak kisah sekiranya (parti) itu mengkhianati rakan mereka (melalui Langkah Sheraton). Pengundi hanya mahu PN menyelamatkan mereka daripada DAP.

“Jadi, undi pergi ke PN dan kami kalah. Isu lain ialah wang dan PN ada banyak.

“Mereka membelanjakan banyak wang untuk iklan, sepanduk, bendera dan banyak promosi.”

Beliau berkata PAS, yang merupakan sebahagian daripada PN, juga telah meminta pengundi berjanji untuk mengundi parti Islam itu dan mendapat wang sebagai balasan.

“Semua ini adalah faktor yang menyokong PN.

“Sebelum ini golongan profesional tidak menyokong PAS tetapi sekarang mereka mementingkan akhirat dan lebih alim (maka mereka mengundi mereka).– 2 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen