Freemasons, Anwar dan saya


Mohd Fudzail Mohd Nor

CERITA mengenai Freemasons telah lama berkembang di Malaysia malah pertubuhan itu sah di sisi undang-undang. Untuk apa dipertikaikan apabila Freemasons diterima sebagai pertubuhan bukan agama.

Pendaftar Pertubuhan menjelaskan pertubuhan Freemasons dibenarkan bergerak kerana tidak menyalahi undang-undang, malah menganggap kegiatannya tidak mengganggu keamanan dan ketenteraman rakyat.

Freemasons bermula di Malaysia 180 tahun lalu dan mula ditubuhkan di Pulau Pinang. Terdapat lodge Freemasons di semua negeri di Malaysia kecuali Terengganu, Kelantan dan Perlis. Lodge Freemasons terbesar di Malaysia terletak di Bukit Jalil.

Freemasons ialah pertubuhan persaudaraan yang terkemuka di dunia dengan keahlian semasa di seluruh dunia berjumlah lebih 3 juta ahli. 

Ahlinya dianjurkan di Lodges serantau. Asal-usul Freeemason hilang dalam sejarah abad pertengahan yang tidak direkodkan, tetapi ia dianjurkan secara rasmi di London, England, pada tahun 1717.

Read Masonic Hall ialah tempat pertemuan KL untuk Freemasons. Bertentangan dengan kepercayaan popular, Lodges ini terbuka kepada individu dari mana-mana agama, bangsa dan kewarganegaraan. 

Matlamat organisasi adalah peningkatan diri ahli-ahlinya dan amal am untuk orang ramai atas dasar persahabatan. 

Perbincangan tentang agama dan politik pada umumnya tidak digalakkan semasa mesyuarat kerana ini bukan skop Freemasons.

Freemasons datang dari semua lapisan masyarakat, kedua-dua kolar biru dan kolar putih; bandar, pinggir bandar dan luar bandar. 

Apa yang menyatukan Freemasons bukanlah dari mana seseorang berasal atau apa yang dilakukan untuk mencari nafkah dan rezeki, tetapi apa yang dicita-citakan. 

Antara pemimpin awal Freemasons ialah bapa pengasas Amerika, George Washington, Benjamin Franklin, Paul Revere, dan John Hancock.

Saya pernah tinggal serumah dengan ibu bapa angkat yang merupakan anggota Freemasons di New Zealand. 

Malah bapa angkat adalah ketua Freemasons untuk Wainuiomata ketika saya dan Azmy Darlis tinggal bersama mereka pada tahun 1983.

Namanya Ian Smith dan beliau bersama pengetua Wainuiomata College, tempat saya belajar di Tingkatan Tujuh adalah orang kuat Freemasons di Wainuiomata, sebuah kawasan berhampiran ibu kota New Zealand, Wellington.

Saya mulanya menetap di rumah arwah Dato Lela Diraja Tuan Hj Alias bin Abd Karim di Lower Hutt sebelum berpindah ke rumah Ian dan Anne Smith oleh gurubesar, Trevor Langley.

Saya dan Azmy mula tinggal di rumah ibu dan bapa angkat. Anne adalah wanita 60-an yang baik. 

Anne lebih kepada saya dengan minat saya kepada kesusasteraan Inggeris dan lagu-lagu sentimental rock seperti The Beatles, Cat Stevens dan Abba. 

Anne membawa saya ke TV New Zealand untuk mengikuti kesusasteraan yang membuat saya jatuh cinta kepada Shakespeare.

Dari lagu-lagu Cat Stevens yang saya minat memperkenalkan saya dengan Yusuf Islam di Dubai dan bekerja dengannya sebagai pengurus besar.

Ian Smith adalah ahli Freemasons yang menjadi orang besar di Wainuiomata. Ian tidak banyak cakap dengan minuman keras dari pagi sampai malam. 

Mesti minum arak seperti meneguk minum air biasa. Ian banyak kali bercerita pasal Freemasons dengan mengajak saya bersama untuk berkelah setiap bulan. 

Saya mengikut di mana-mana yang jauh dari Wainuiomata. Saya sentiasa ingat Tasik Henley, Masterton dengan kumpulan Freemasons seluruh New Zealand.

Akhirnya Ian mengajak saya ke Lodge Freemasons. Saya pergi dan melihat apakah dia Lodge. Terkejut saya bila ada empat naskah al-Quran di Lodge Wainuoimata. Saya minta penjelasan kerana al-Quran adalah kitab suci umat Islam.

Ian memberitahu semua agama Freemasons percaya, cuma Freemasons berada di atas daripada semua agama. Di Lodge  ada banyak kitab untuk bacaan dengan perpustakaan.

Ahli Freemasons lelaki berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan umur minimum berbeza-beza dalam sesetengah bidang kuasa, kadangkala sehingga 21. 

Percaya kewujudan Maha Tinggi, walaupun Freemasons tidak mengambil berat tentang perbezaan teologi atau kepercayaan agama tertentu. Jadilah akhlak yang baik.

Saya bertanya bagaimana untuk jadi ahli.
Ian menjawab, seseorang itu diajak untuk menyertai Freemasons dan bukan boleh dipohon oleh sesiapa. Untuk menjadi ahli Freemasons, seseorang mesti disyorkan oleh dua ahli Lodge semasa dan diundi sebulat suara oleh ahli Lodge.

Saya bertanya, siapa rakyat Malaysia yang menjadi ahli Freemasons.

Ian menunjukkan buku senarai ahli Asia. Saya terkejut dengan senarai nama tetapi tiada Anwar Ibrahim. Biarlah nama-nama itu menjadi rahsia kerana menyembunyikan  aib orang lain dituntut dalam agama.

Saya ada diajak main golf bersama ahli Freemasons yang lain. Saya tidak minat golf dan hanya menonton, barangkali telah menjadi pemain golf yang handal.

Seorang yang rapat dengan saya adalah seorang Yahudi yang selalu membantu dan kami berkawan baik. Itulah pertama kali saya baik dengan Yahudi dan mula merasakan kemesraan ikhlas darinya.

Ian mengajak saya menjadi ahli Freemasons tetapi saya menolak. Sebab utama, Freemasons lebih tinggi dari semua agama. 

Saya anak tok kadi dan ulama, tidak terfikir untuk jadi ahli Freemasons. Saya mula membaca jawi usia 4 tahun lebih dan khatam Quran dalam usia muda.

Agama masih kuat untuk dipertahankan dan saya menjadi imam pertama untuk masjid Hamilton tempat saya belajat di Universiti Waikato. 

Saya juga tukang azan di masjid Wellington, Auckland dan Hamilton. Ditugaskan sebagai tukang nikah sewaktu berusia 20 tahun dan seakan tok khadi dengan menjaga hal ehwal Islam di kalangan pelajar termasuk seorang pelajar yang keluar Islam.

Selain itu, kebimbangan dan kecemasan tentang pemakanan terlerai apabila gurubesar menerangkan yang mereka memahami halal dan haram, serta soal solat, puasa dan lain-lain berkaitan ibadah dalam Islam. Saya cukup senang dengan pemahaman Islam kerana Islam masih baru di New Zealand waktu itu.

Freemasons menjadi kebimbangan ketiga. Persepsi mengenai Freemasons memang mencemaskan. Bimbang akan terjerumus ke dalam kancah Freemasons tetapi saya banyak belajar mengenai misi dan aktiviti Freemasons dari kedua-dua mereka dan memahami.

Freemasons sebenarnya satu persaudaraan yang bersifat aman dan amal yang tidak berlandaskan keagamaan, etnik atau politik.

Tiga prinsip utama Freemasons adalah persaudaraan bersifat toleransi dan ramah antara satu sama lain. 

Kebajikan melakukan kerja amal dalam kalangan ahli serta komuniti secara umumnya. Kebenaran menuntut kebenaran dalam semua perkara, mengamalkan integriti dalam tindakan harian, dan mematuhi standard moral yang tinggi.

Freemasons telah menyumbangkan berjuta-juta ringgit kepada pelbagai pertubuhan amal dan orang persendirian yang bersifat berbilang kaum dan agama.

Freemasons bukanlah sebuah pertubuhan rahsia di mana peraturan perlembagaan, matlamat, prinsip, tempat pertemuan, dan keanggotaan pertubuhan Freemasons diketahui oleh pihak berkuasa dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Freemasons bukan suatu agama atau badan keagamaan dengan hala tuju tertentu untuk mencapai kebahagiaan di akhirat. 

Tidak terdapat Tuhan “Masonik” dan sebarang perbincangan agama adalah dilarang keras dalam mesyuarat. Ahli Freemasons bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama.

Freemasons bukanlah suatu gerakan Zionis dan juga tidak mengancam keamanan nasional Malaysia. Freemasons tidak menyembah syaitan; tidak ada sebarang upacara pemujaan syaitan dalam mesyuarat. 

Freemasons bukan merupakan suatu perintah dunia rahsia yang cuba menegakkan ketuanan global.

Tiada terdapat satu badan tunggal atau berpusat yang memerintah Freemasons sedunia. Freemasons bukanlah sebuah organisasi politik mahupun agama.

Freemasons ialah organisasi sosial dan persaudaraan yang mempromosikan persaudaraan, keamanan, kebebasan beragama, integriti, standard moral yang tinggi, dan kewarganegaraan yang baik.

Itulah yang saya faham dari Ian Smith dan Trevor Langley di Wainuiomata College New Zealand.  

Menurut seorang yang menulis mengenai Freemasons, Alan Teh Leam Seng, pengenalan Freemasonsry di Tanah Melayu sebahagian besarnya dikaitkan dengan ketibaan Syarikat Hindia Timur Inggeris di Pulau Pinang pada 17 Julai 1786.

Sememangnya, pulau itu menjadi tapak pertama bagi Freemasons apabila Royal Prince of Wales Lodge ditubuhkan pada tahun 1875.

Selepas itu, lodge Freemasons lain di negeri-negeri Melayu yang terletak di tengah-tengah telah ditubuhkan secara berturut-turut. 

Pondok Jubli Perak di Taiping bermula pada tahun 1887 manakala Lodge Read di Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada tahun 1889.

Aktiviti Freemasons hanya sampai ke bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu selepas termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam pada 1909. 
Perjanjian itu dengan berkesan memindahkan semua hak penguasaan, perlindungan dan kawalan Siam ke atas Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Great Britain.

Semasa Perang Dunia Kedua, Lodge Kedah telah dirompak dan digunakan oleh Jepun sebagai kuarters kuli. Apabila perang tamat, bangunan terbiar itu telah menjadi kandang kambing.

Akibatnya, 14 ahli Lodge memutuskan untuk mengadakan mesyuarat pertama selepas perang.

Perkara mula berubah secara mendadak untuk Lodge Kedah pada akhir 1970-an dengan penurunan mendadak dalam keahlian Eropah. Ramai yang bersara dan meninggalkan Malaysia manakala yang lain dipindahkan ke negara lain.

Mengakui berakhirnya era, Lodge Kedah mula membuka pintunya kepada ahli bukan Eropah. Termasuk orang Melayu seperti disenaraikan sebagai ahli Freemasons yang saya baca di New Zealand. 

Begitupun, segala kecaman dan tuduhan kepada perdana menteri ke-10 sangat dikesalkan dan laporan polis perlu di buat.

Saya berharap orang Melayu yang menjadi ahli Freemasons dapat diketahui ramai dengan bukti yang nyata, jangan hanya menfitnah dan menuduh. – 30 November, 2022.

* Mohd Fudzail Mohd Nor pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 31 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia,11 Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Novel Berita Harian, Hadiah Cerpen Selangor, Terengganu, Johor dan lain . Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar serta pengarah e-Dompet Nigeria dan penerbitan sendiri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen