SELANGOR mencatatkan purata enam kes kematian seminggu akibat wabak Covid-19 sejak awal tahun ini hingga 19 November lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata sejak Covid-19 melanda negara kadar kematian secara keseluruhan di Selangor merekodkan sejumlah 10,911 kes iaitu 0.7% kadar kematian kes (CFR).
“Bagaimanapun untuk 2022 sejak minggu epid ketiga yang lepas kadar CFR ini menurun ke angka 0.1%,” katanya menjawab soalan Saari Sungib (PH-Hulu Kelang) mengenai tahap kawalan terhadap penularan Covid-19 sepanjang tahun ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata situasi Covid-19 di Selangor sepanjang tahun ini masih terkawal iaitu kira-kira 1,000 ke 2,000 kes didaftarkan sehari bermula minggu epid 35 hingga minggu epid 46 dengan majoriti kes yang didaftarkan adalah daripada kategori dua, iaitu 95% manakala 4.5% lagi dalam kategori tiga, empat dan lima.
Menurutnya antara faktor penyumbang kepada keadaan semasa ini ialah kadar vaksinasi Covid-19 termasuk dos penggalak yang tinggi iaitu melebihi 90% daripada jumlah penduduk Selangor.
Selain itu Dr Siti Mariah berkata faktor lain ialah fasiliti kesihatan awam yang mampu menampung kes-kes berkategori tiga, empat dan lima serta aktiviti pendidikan kesihatan berterusan yang dijalankan bagi mengingatkan orang awam berkenaan kepentingan menjaga kesihatan kendiri.
Namun katanya orang awam disarankan untuk mengambil vaksin penggalak kedua terutamanya golongan yang berisiko tinggi ekoran kemunculan subvarian Omicron XBB yang menunjukkan peningkatan terhadap kadar kebolehjangkitan, walaupun kadar kematian disebabkan varian baharu itu masih rendah. – Bernama, 30 November, 2022.
Komen