MASIH ada orang yang tidak dapat membezakan di antara media arus perdana dan lidah rasmi parti, dan menganggap kedua-duanya sama. Ini andaian yang salah.
Dalam dunia akhbar di negara kita, Utusan Malaysia dan Berita Harian serta media cetak berbahasa Melayu yang lain pada dasarnya menyokong Umno, dan hal-hal berkaitan orang Melayu dan Islam, serta isu-isu sensasi seperti skandal artis dan selebriti.
Media cetak berbahasa Inggeris seperti The Star milik MCA menyokong BN walaupun sesekali memberi ruang kepada suara alternatif. Namun sasaran serangannya adalah DAP dan Pakatan Harapan.
The New Straits Times milik kroni Umno amat jarang memberi muka kepada pembangkang, malah memburukkannya.
Akhbar berbahasa Cina sebelum alaf baru memberi ruang kepada pembangkang tetapi hari ini kebanyakannya sudah beralih untuk menyokong MCA-BN, malah Umno juga, kerana pegangan saham mereka sudah dikuasai komponen BN.
Akhbar Tamil masih sedikit bebas; mungkin kerana pimpinan BN tidak menganggap undi kaum India mampu menjejaskan kuasa mereka.
Akhbar-akhbar di Sarawak dan Sarawak lebih bebas sedikit berbanding di Semenanjung tetapi masih terikat dengan amalan menyokong BN Pusat serta BN negeri masing-masing.
Dari segi TV dan radio, semua stesen TV di Malaysia adalah milik kerajaan BN atau penyokong kerajaan BN, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Begitu juga dengan radio.
Di semua siaran TV dan radio, terutamanya dalam Bahasa Melayu, pembangkang hampir tidak muncul sama sekali. Jika ada, ia hanya memburukkan atau memfitnah mereka.
Tidak cukup dengan kawalan serta pemilikan media, kerajaan BN meneruskan legasi penjajah British dengan mengawal media melalui undang-undang. Kawalan, halangan dan sekatan dibuat melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan pelbagai undang-undang “keselamatan” lain.
Berikutan segala kawalan dan sekatan, bermula sejak reformasi 1998, muncul laman-laman web, blog dan portal berita yang menawarkan alternatif kepada media kawalan kerajaan.
Dari situ lahirnya portal berita Malaysiakini dan AgendaMalaysia, dan beberapa laman web yang menyiarkan tulisan alternatif yang sebelum ini dinafikan siaran di media arus perdana. Namun sejak sedekad lalu, kawalan media alam maya mula dikuatkuasakan.
Selain kekangan pemerintah, portal berita turut menghadapi masalah mendapatkan sumber kewangan. Kerana mereka lebih berani, tekanan pihak berkuasa menyebabkan sukar bagi mereka mendapatkan iklan. Sektor korporat tidak berani melabur dalam media yang dianggap berisiko.
Malah, ‘cybertroopers’ pro-kerajaan sentiasa menyerang portal berita yang berani demi untuk menakutkan serta memburukkan mereka. Istilah “portal berita pro-pembangkang” dilontarkan terhadap Malaysiakini dan The Malaysian Insight kerana memaparkan berita secara adil.
Sebenarnya, undang-undang di Malaysia memisahkan media arus perdana dengan media milik parti seperti Rocket, Suara Keadilan, Harakah dan sebagainya.
Ia bukan untuk parti pembangkang sahaja. Umno dan komponen BN juga mempunyai media parti sendiri. Media ini biasanya digelar lidah rasmi parti atau organ parti.
Umno mempunyai lidah rasmi bernama Merdeka manakala MCA memiliki The Guardian. Tetapi dari segi amalannya, kedua-dua parti itu tidak memerlukan suara parti sendiri kerana mereka sudah pun menguasai media arus perdana seperti Utusan dan The Star.
Jadi apa beza media arus perdana dengan media milik parti?
Kedua-duanya tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Yang membezakannya ialah lesen media arus perdana membenarkannya terbit setiap hari dan bebas dijual kepada umum. Manakala media parti disekat penerbitannya, iaitu hanya dibenarkan dua kali atau sekali seminggu, atau sekali sebulan, mengikut kehendak pihak berkuasa. Malah, muka depan lidah rasmi parti wajib mempunyai kata-kata “Untuk Ahli Sahaja”.
Dalam hal ini, ia tidak adil kerana Utusan Malaysia dan The Star yang masing- masing merupakan “suara” Umno dan MCA boleh menyamar sebagai media arus perdana. Ini jelas berat sebelah kerana padangnya tidak sama rata.
Lagi pula, atas nama media arus perdana, mereka tiada masalah mendapatkan iklan. Sedangkan banyak pihak takut untuk mengiklan bersama lidah rasmi parti kerana bimbang dicop pro-pembangkang, dan takut kehilangan bisnis.
Oleh itu, jika ada sesiapa yang mengatakan The Rocket atau Suara Keadilan tidak adil kerana tidak memberi ruang kepada BN, ia menunjukkan mereka tidak faham amalan kewartawanan serta penguatkuasaan undang-undang media di Malaysia.
Setiap hari, kenyataan-kenyataan pemimpin BN sentiasa disiarkan oleh TV, radio, akhbar, laman web, dan segala macam media sosial yang dikuasai BN. Semua rakyat Malaysia terdedah kepada media kawalan BN sedangkan suara rasmi pembangkang amat terhad kepada ahli dan penyokong sahaja.
Oleh itu, media parti milik pembangkang yang dikawal ketat dan amat terhad edarannya terpaksa menumpukan berita dan rencana hal-hal parti sendiri, termasuk kritikan-kritikan pimpinannya terhadap BN kerana media arus perdana amat jarang menyiarkannya. Itu sahaja yang mampu dibuat di bawah kawalan kerajaan BN.
Semoga suatu hari nanti, apabila rakyat memilih Pakatan Harapan menjadi kerajaan, ia perlu menghapuskan – atau setidak-tidaknya melonggarkan – kawalan dan sekatan yang ada sekarang.
Kerajaan dan pentadbiran baru yang menawarkan demokrasi yang lebih adil tidak perlu takut dengan kebebasan bersuara dan berekspresi. – 2 Jun, 2017.
* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen