AKTIVITI kilang China menyusut untuk bulan kedua berturut-turut pada bulan November apabila sebahagian besar negara itu ditutup akibat Covid-19 dan gangguan pengangkutan, menurut data rasmi hari ini.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI)—pengukur utama pembuatan dalam ekonomi kedua terbesar dunia—berada pada 48.0 turun daripada 49.2 Oktober dan jauh di bawah paras 50 mata yang memisahkan pertumbuhan daripada penguncupan, menurut data daripada Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS).
China menegaskan dasar sifar-Covid untuk menghentikan wabak menerusi kuarantin yang ketat dan ujian besar-besaran walaupun jangkitan mencapai rekod tertinggi bulan ini mengheret permintaan dan keyakinan perniagaan.
“Pada November indeks pengurus pembelian China jatuh dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk penularan wabak domestik yang meluas dan kerap, dan persekitaran antarabangsa menjadi lebih kompleks dan teruk,” kata ahli statistik kanan NBS Zhao Qinghe dalam satu kenyataan.
Zhao berkata wabak pada bulan November menyebabkan aktiviti pengeluaran menjadi perlahan dan tempahan produk menurun dengan menyatakan peningkatan turun naik dalam jangkaan pasaran.
Kesemua jenis perniagaan jatuh pada bulan itu dengan PMI untuk perusahaan kecil mencecah paling teruk pada 45.6.
PMI bukan pembuatan masuk pada 46.7 mata pada November juga menunjukkan penguncupan dalam aktiviti dan turun daripada 48.7 mata pada Oktober.
Zhao berkata untuk pengangkutan, penginapan, katering dan hiburan khususnya “aktiviti perniagaan industri jatuh dengan ketara”, kerana “beberapa wilayah menyaksikan impak yang agak besar daripada wabak itu”.
Pemimpin China menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi tahunan kira-kira 5.5% tetapi ramai pemerhati berpendapat negara itu akan bergelut untuk mencapai sasaran itu walaupun mengumumkan pengembangan 3.9% yang lebih baik daripada jangkaan pada suku ketiga.
Sementara itu, protes yang jarang berlaku di seluruh negara diadakan dalam kalangan penduduk selepas tiga tahun dasar sifar-Covid. – AFP, 30 November, 2022.
Komen