Penganalisis saran parti kecil menang tipis PRU15 sertai gabungan besar


Ravin Palanisamy

Parti kecil yang menang hanya beberapa kerusi pada PRU15, misalnya Muda, perlu menyertai gabungan besar untuk kelangsungan politik perti itu, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2022.

PARTI-parti kecil yang menang hanya beberapa kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disarankan supaya menyertai gabungan lebih besar demi kelangsungan politik mereka, kata penganalisis.

Untuk survival dalam jangka masa panjang, Warisan, Muda, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) harus berbuat demikian, menurut mereka.

Sebanyak 20 parti serta 108 calon Bebas bertanding merebut 222 kerusi parlimen dan 117 kerusi DUN dalam PRU15 pada 19 November lalu.

Bagi kerusi parlimen, PAS mendominasi dengan 43 kerusi, diikuti DAP (40), PKR (31), Bersatu (30), Umno (26), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (14), Amanah (8), Parti Rakyat Sarawak (5), Sabah Bersatu (4), Warisan (3), serta UPKO, MCA, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) masing-masing dua kerusi.

Manakala Muda, PBM, MIC, KDM, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan dua calon Bebas masing-masing menang hanya satu kerusi.

Jika mengikut gabungan, Pakatan Harapan (PH) menang 83 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (6).

Pilihan raya di satu lagi kerusi iaitu kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan ke 7 Disember ini susulan kematian calon PH M Karupaiya pada 16 November lalu. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH kini menerajui kerajaan perpaduan disokong Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, KDM dan PBM.

Kerajaan perpaduan dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong setelah tiada mana-mana gabungan menang dengan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.

Melihat kepada keputusan PRU15 baru-baru ini, penganalisis Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata parti-parti kecil yang tewas patut dibubarkan sahaja.

Parti-parti ini termasuklah Pejuang, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Part Sedar Rakyat Sarawak (Sedar), Parti Bumi Kenyalang (PBK), dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Parti kecil lain yang menang pula, Muda misalnya, perlu menyertai gabungan besar untuk kelangsungan politik, kata Tunku Mohar.

“Muda perlu berada dalam satu gabungan. Mungkin pakatan pilihanraya pada PRU15 boleh dijadikan sebagai percubaan untuknya menyertai PH.

“Masa depan Muda bergantung pada penyertaannya dalam gabungan yang mantap, dan kalau dibandingkan dengan semua gabungan yang ada PH adalah yang terbaik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam penampilan sulungnya pada pilihan raya umum, Muda membentuk pakatan pilihan raya dengan PH dengan bertanding di enam kerusi parlimen termasuk Muar yang berjaya dipertahankan penyandang yang juga presiden parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Muda tewas di lima kerusi lain yang ditandinginya.

Penganalisis politik Mazlan Ali Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata Muda harus diberi peluang untuk membuktikan kemampuan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebagai parti berasaskan belia parti itu belum cukup mampu untuk menarik sokongan golongan muda walaupun seramai lebih 1.39 juta pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara mengundi kali pertama susulan penurunan had umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun pada Julai 2019.

“Muda parti yang masih baharu. Jelas sekali ia masih belum mampu untuk tarik sokongan pengundi muda. Mereka (belia) lebih tertarik pada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Bagi Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, Muda terkenal di Lembah Klang dan bandar tetapi parti itu sukar untuk menembusi kawasan luar bandar. 

Parti pimpinan Syed Saddiq itu katanya tidak dapat mempamerkan kekuatannya kerana tidak diberikan kerusi bandar.

“Pengundi luar bandar lebih tertarik kepada PAS dan PN,” ujarnya.

Warisan hanya menang 3 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2022.

Warisan bukan parti nasional

Mengulas mengenai Warisan, Tunku Mohar berkata parti itu cuma menang 3 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan pada PRU15, sudah hilang tarikan ekoran keputusannya untuk menjadi parti nasional.

“Warisan hilang daya tarikannya berbanding semasa PRU14, dan keputusan untuk menjadi parti nasional telah mengurangkan tumpuannya kepada Sabah.

“Tumpuannya patut hanya di Sabah,” kata Tunku Mohar.

Warisan yang berpangkalan di Sabah melebarkan sayapnya ke seluruh negara pada Disember 2021.

Menurut data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Warisan bertanding di 25 kerusi Parlimen di Sabah, manakala 26 lagi di Semenanjung dan satu di Labuan.

Parti itu hanya menang tiga kerusi – Kota Belud, Semporna and Lahat Datu. 

Berkongsi pandangan serupa, Mazlan berkata keputusan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung adalah satu kesilapan besar.

“Warisan sekarang ini menghadapi isu prestasi. Pada saya kesilapan terbesar parti itu ialah tidak menumpu perhatian di Sabah.

“Warisan sebenarnya parti tempatan dan tidak diterima di Semenanjung. Jadi untuk akan datang perhatian parti itu harus kepada Sabah,” ujar Mazlan.

Begitu juga PBM, katanya, menjadi sebab mengapa Zuraida Kamaruddin gagal mempertahankan kerusi Parlimen Ampang kerana PBM bukanlah parti nasional. – 30 November, 2022. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen