Tembelang TikTok dan kempen PRU15


Zulfadzli Halim

PERIHAL tembelang TikTok pecah busuk ketika masuk waktu kempen Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 (PRU15). Kepada yang belum perasan, sebelum tempoh berkempen menjangkau 6 bulan sehingga setahun, ejen-ejen propaganda telah berada di semua platform media sosial, menyiapkan segala peralatan.

Di TikTok, ejen-ejen ini akan membuat akaun-akaun yang menyebarkan positiviti, memberi ilmu dan tips, agar ia mendapat ramai pengikut. Pada masa itu, akaun-akaun tersebut sangat kurang sebut tentang hal politik dan kepartian, mungkin dalam empat video santai, satu video bermesej yang kita mahu sampaikan. Itupun dalam nada yang sipi-sipi.

Datang tempoh berkempen dan gendang “perang” dibunyikan, semua akaun yang mempunyai puluhan ribu pengikut ini akan membuka topeng masing-masing dan menjadi akaun tidak rasmi parti. Saya gunakan istilah perang kerana ketika perang, segala fitnah dan pembohongan akan dihalalkan. Sekurang-kurangnya kepada mereka yang percaya perjuangan mereka ialah perang suci.

Ini secara ringkas latar belakang apa yang terjadi ketika PRU15 lepas. Tapi bukan cerita penuh. Ada lagi sisi-sisi gelap yang membuatkan TikTok jauh lebih merbahaya berbanding platform media sosial yang lain. Sekarang baru kita mula cerita tentang bagaimana kebebasan bersuara membunuh demokrasi.

Mereka yang pernah menonton dokumentari “The Social Dilemma” di Netflix mungkin mendapat gambaran bagaimana platform media sosial direka agar menjadi candu masyarakat. Setiap pengguna media sosial akan disuap dengan video yang mereka suka agar mereka terus ketagih dan mahukan lagi sehingga bila sedar lebih 2 jam mengadap telefon tanpa sebarang hasil yang produktif.

Tapi TikTok ini jauh lebih merbahaya, kerana cadangan video untuk menyebabkan ketagihan ini lebih melampau dan bersifat individual dan membentuk gelembung-gelembung komuniti tersendiri. Saya namakan ini sebagai hooligans atas talian, dengan keberanian melampau yang timbul dan disemarakkan dalam kelompok komuniti atas talian.

Dari mana kelompok ini datang? Ingat akaun ejen-ejen propaganda yang suci yang saya ceritakan mula-mula tadi? Merekalah benang yang menjahit dan menghubungkan kelompok-kelompok ini, kemudian dikuatkan dengan kerangka TikTok yang sentiasa menyuap video-video yang bertepatan dengan selera setiap individu; jika anda sokong satu parti pada pilihan raya lepas, akan disuap dengan video-video yang sesuai dengan pandangan politik anda. Meneguhkan “iman” politik anda. Akhirnya menjadi radikal setelah diberi sokongan dan galakan oleh ahli-ahli komuniti yang sependapat dengan anda.

Dari suka mendengar tazkirah dan motivasi Islami, kini berpotensi menjadi radikal. Begitulah bagaimana kebebasan bersuara menjadi racun demokrasi.

Itu penyataan masalah; sekarang kita akan masuk ke bahagian dua yang akan membincangkan perihal penyelesaiannya yang ada sekarang, dan penyelesaian masa depan yang lebih proaktif.

Masalah utama jika seorang peniup wisel membunyikan amaran mengikut lunas undang-undang sedia ada di Malaysia sekarang ialah kemungkinan besar telefon beliau akan dirampas sebagai bahan bukti. Bukti apa? Bukti yang pelapor telah mengakses material itu menggunakan suatu peranti. Anda mahu telefon anda dirampas hanya melaporkan video orang lain yang radikal? Saya pun tak mahu.

Kerana ini saya memilih untuk tidak membuat laporan rasmi sebaliknya hanya “tag” pihak berkuasa agar diberi perhatian. Malangnya sebagai suspek kini telefon saya telah dirampas.

Akses saya kepada bank tersekat. Applepay yang bersambung dengan kad kredit saya turut tersekat. E-wallet TouchNGo yang saya sambung ke MyRFID untuk bayar tol tersekat. Peranti telefon yang mirip dompet saya kini hilang, dan perlu beli telefon baharu untuk masukkan semuanya semula.

Ini belum cerita tentang risiko kebocoran maklumat yang membolehkan wang saya hilang ketika telefon tiada dalam simpanan saya. Anda nak hadapi masalah yang sama? Tentulah tidak.

Adakah anda nak beli telefon RM250 hanya untuk buat telefon “dummy” agar setelah laporan polis dibuat, hanya telefon “dummy” itu dirampas? Saya tidak mampu.

Ini cabaran kerangka undang-undang sedia ada yang pada pendapat saya sangat ketinggalan zaman kerana digubal pada ketika telefon tidak digunakan sebagai peranti multi utiliti seperti sekarang. Ini cabaran pertama yang pihak berkuasa kena selesaikan. Jangan rampas telefon pelapor!

Sebaliknya, ada beberapa cara lain yang boleh diambil untuk mengurangkan impak negatif daripada TikTok. Pertama, kerajaan dan agensi perlu buat akaun TikTok untuk menyediakan alternatif berita pasti benar dalam penyebaran maklumat kepada rakyat. Cabarannya ialah untuk mendapatkan tempat di For Your Page dan menjadikan video mereka ini tular dan menembusi khalayak sasaran yang sudah ada dalam gelembung sendiri. Ini memerlukan pasukan pakar untuk menarik perhatian pengguna TikTok dan mendapatkan persetujuan mereka.

Malaysia juga boleh belajar dari Indonesia dan India tentang masalah yang mereka hadapi dalam menangani pengguna TikTok yang radikal. Maklum tahu, India telah pun mengharamkan TikTok di negara mereka pada tahun 2020. Kerjasama antara kerajaan perlu untuk memahami corak pemikiran rakyat yang cenderung kepada radikal.

Berikutnya, TikTok harus memberi kerjasama penuh kepada kerajaan dalam memantau kandungan TikTok dan menyekat unsur-unsur ekstremis dan tuturan kebencian (hate speech). Ini berikutan gelembung-gelembung khalayak yang melata dalam TikTok yang tidak menggunakan tagar atau corak yang boleh dikenalpasti.

Sebagai contoh, dalam kes seruan kepada rusuhan kaum tempoh hari; selain tagar, video-video ekstrem ini boleh dicari menggunakan bunyi dan muzik lagu tertentu misalnya suara dari filem Mat Kilau dan lagu perang. Tindakan pantas pihak TikTok yang menyekat penularan trend ini boleh menyebabkan video-video seperti ini tidak sampai ke khalayak ramai.

TikTok juga sepatutnya mengeluarkan terus pengguna ini dari platform mereka, tidak cukup dengan hanya “shadowban”, atau mengurangkan video mereka dipaparkan ke FYP orang lain. Lebih malang, laporan yang dibuat oleh pengguna lain menunjukkan yang video-video tersebut tidak melanggar apa-apa polisi TikTok. Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab penuh Tiktok sebagai mereka yang mempamerkan kandungan untuk menapis, dan jelas, mereka gagal.

Kerajaan Malaysia sebenarnya tidak boleh membiarkan sebuah entiti swasta seperti TikTok untuk menentukan masa depan negara dengan membenarkan kandungan yang boleh mendatangkan risiko kepada perpaduan kaum dalam negara ini.

Jika masa depan negara dipegang oleh syarikat swasta, kita memang dalam bahaya. TikTok perlu mendedahkan cara mereka bekerja kepada kerajaan, dan tidak boleh dibenarkan mengganggu gugat keselamatan negara.

Ini yang membuatkan TikTok jauh berisiko berbanding platform media sosial lain. Jika anda membuka akaun TikTok sekarang, anda tidak akan jumpa kandungan provokasi kaum secara terus. Anda perlu masuk dalam gelembung mereka, barulah dapat disuap dengan video-video bahaya seperti ini.

Menariknya, pada PRU15 yang lepas, ini yang terjadi. Ketiga-tiga parti politik utama fikir yang mereka menguasai medan TikTok kerana jumlah tontonan yang tinggi dan komen-komen murni dari pengguna lain walhal mereka masing-masing dalam gelembung parti tersendiri.

Kita tidak tahu apa yang ada di luar gelembung sendiri. Sehinggalah ia pecah. – 29 November, 2022.

* Zulfadzli Halim seorang jurutera sebelum wabak Covid-19. Kini berkicau di Twitter menggunakan nama @bumilangit kerana tak cukup kacak untuk TikTok.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen