Anwar perlu selesai isu 'perut', kata pemerhati


Mohd Farhan Darwis

Pengarah Eksekutif Ilham Centre berkata, sekiranya isu perut berjaya ditangani lebih mudah untuk menyelesaikan isu dan sentimen perkauman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

SUHU politik perkauman dan agama boleh diredakan sekiranya kerajaan Anwar Ibrahim dapat menangani isu “perut rakyat” dengan baik, kata penganalisis politik.

Mereka berpandangan Anwar perlu terlebih dahulu menangani isu ekonomi, pendapatan rakyat, dan beban kos sara hidup sebelum melihat soal perkauman dan agama, yang begitu ketara semasa, dan beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata, sekiranya isu perut berjaya ditangani lebih mudah untuk menyelesaikan isu dan sentimen perkauman.

“Orang akan marah kalau ekonomi tak selesai… tanggungjawab terletak di bahu Anwar menyelesaikan isu memulihkan ekonomi dan kos sara hidup.

“Yakinlah, kalau yang itu dapat dilaksanakan, ia akan meredakan kelompok terbanyak dan selamatkan pengundi yang tumpu kepada isu kaum dan agama.

“Kalau selesai isu ekonomi, itu boleh meredakan sentimen atas faktor kaum, kerana macam mana pun isu perut juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Ahad, Anwar mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN), tiga hari selepas mengangkat sumpah perdana menteri.

Mesyuarat disertai Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus serta pegawai-pegawai Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Selepas mesyuarat itu Anwar berkata beliau memberi tempoh dua minggu kepada agensi dan kementerian berkaitan untuk meneliti perincian subsidi kepada rakyat yang kini turut dinikmati oleh mereka yang tidak sepatutnya.

Langkah Anwar mengembalikan peranan majlis itu, menurut Hisomuddin, satu tindakan tepat. Majlis itu pernah dipengerusikan Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menjadi timbalan perdana menteri sewaktu pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

“Jawatankuasa itu sangat berkesan kerana mengkoordinasi kementerian penting yang terlibat dengan bakul makanan rakyat, maksudnya termasuk pengangkutan, kesihatan, utiliti, dan perbelanjaan makanan,” katanya.

Beliau menyifatkan majlis itu “landasan yang tepat untuk kerajaan baharu menjaga politik perut rakyat”.

Pemerhati melihat langkah Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara selepas tiga hari angkat sumpah jawatan, sebagai satu tindakan tepat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

Sekiranya isu berkaitan perut rakyat dapat ditangani, Anwar perlu pula memberi tumpuan kepada soal pembangunan negara bangsa yang, menurut Hisomuddin, “agak terkesan” dengan kempen pilihan raya selama dua minggu yang sarat dengan isu kaum dan agama.

“Jangan sampai apa yang dibina pemimpin terdahulu hancur dek kempen 14 hari itu,” katanya.

Hisomuddin mencadangkan Anwar memeterai satu perjanjian persefahaman dengan pembangkang, seperti yang ditandatangani bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Paling kurang ada tawaran untuk meredakan ketegangan antara parti politik. MoU antara langkah paling kritikal dan terbukti penggal lepas berjaya redakan suhu politik negara.

“PH kena cepat kemuka tawaran MoU dan sebagainya, kalau tak ia akan mewujudkan gerakan yang lain,” katanya.

Selain itu, kata Hisomuddin, Anwar perlu menyelesaikan keadaan pengundi yang terpecah dua, seperti yang dapat dilihat daripada keputusan PRU15.

“Melayu sokong PN (Perikatan Nasional), bukan Melayu sokong PH,” katanya.

Pandangan sama dikongsi pengarah program Iman Research, Badrul Hisham Ismail yang menggesa Anwar melaksanakan janjinya berkaitan isu rakyat.

“Anwar perlu menjadi benar-benar inklusif, dan menyelesaikan isu-isu ruji seperti kos hidup dan sebagainya, supaya keresahan rakyat menjadi reda.

“Kerajaan pimpinan Anwar juga harus melaksanakan janji-janji mereka dalam jangka masa yang munasabah, dan elok juga kalau ada satu usaha rekonsiliasi untuk memulihkan hubungan antara kaum,” katanya.

Badrul memberi amaran taktik segelintir parti politik yang membawa naratif ekstrem yang mula berleluasa dan mempunyai ikutan dalam kalangan rakyat.

Beliau yang membuat kajian mengenai terorisme berkata kelompok ini asalnya kecil dan terpinggir tetapi dibimbangi muncul ke permukaan apabila parti politik pun menggunakan naratif ekstrem.

“Itu yang membimbangkan kerana rakyat kebanyakan pun mula percaya dan terikut-ikut dengan naratif sebegitu,” katanya.

Untuk menangani naratif ekstrem itu, Badrul mencadangkan agar pihak yang berkenaan menyebar serta mendidik naratif kedamaian dalam masyarakat majmuk, khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Supaya mereka meraikan kepelbagaian yang ada di negara kita,” katanya.

Beliau juga berharap parti politik akan menyokong segala usaha untuk memperbaiki hubungan sesama kaum, sama ada daripada pihak kerajaan atau badan masyarakat.

Keputusan PRU15 lepas menunjukkan pengundi cenderung kepada politik identiti, yang mana mampu menjadi ancaman kepada mana-mana kerajaan memerintah, kata profesor sejarah sosial dan intelektual Ahmad Murad Merican. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

Politik identiti

Dalam pada itu, profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Ahmad Murad Merican berkata, keputusan PRU15 lepas menunjukkan pengundi cenderung kepada politik identiti, yang mana mampu menjadi ancaman kepada mana-mana kerajaan memerintah.

Politik identiti itu katanya tidak semestinya bertumpu pada kaum semata-mata tetapi juga boleh dibentuk berteraskan identiti kumpulan dan bukannya berteraskan rasionaliti individu.

“Jelas daripada pilihan pengundi kita dapati penyerlahan politik identiti, namun ini berlaku bukan hanya di Malaysia, ia perkara normal, turut berlaku di Barat dan terutama sekali di Amerika Syarikat.

“Naratif yang memaparkan bahawa Islam atau Melayu dicabar dari kumpulan Melayu, dan Cina dicabar dari kumpulan Cina ini dipacu oleh identiti kumpulan dan bukan rasionaliti individu,” tambah Ahmad Murad.

Pemahaman kelompok terbabit katanya tidak berdasarkan maklumat tetapi takrifan satu musuh secara bersama.

Kepercayaan seperti itu kata Ahmad Murad merbahaya kerana ia sekadar berlandaskan emosi dan berupaya mencetuskan kebencian kepada pihak lain.

“Ia merbahaya jika kita lihat keputusan dalam politik tidak berdasarkan kepada ilmu dan kefaktaan, dan didominasi oleh elemen tidak rasional.

“Identiti partisan ini juga kita tidak mewarisi dari ibu bapa. Ini bersifat emosi, dan boleh menjurus kepada sikap diskriminasi dan kebencian terhadap kumpulan lain,” katanya.

“Sifat ini juga dapat menjurus kepada ekstremisme yang bersifat keganasan dan militan.”

Oleh itu, media massa katanya perlu memain peranan mendidik masyarakat agar tidak terus terperangkap dalam pemahaman tersebut.

“Peranan media perlu ditekankan dan mengapa pengundi menonton media (tradisional dan sosial) bukan untuk fakta dan maklumat, pengundi memilih media dan saluran yang mereka selesa dengan mereka

“Pendedahan selektif dan mencari perspektif yang mereka persetujui dan percaya lalu menguatkan lagi sikap dan kepercayaan, sama juga dengan pengelakan selektif,” katanya lagi.

Keputusan PRU15 menunjukkan kelompok pengundi Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada PN berbanding BN manakala pengundi bukan Melayu kekal menyokong PH.

PH memenangi sejumlah 82 kerusi Parlimen, PN pula 73 dan diikuti BN yang hanya mampu menang di 30 kerusi.

Anwar dilantik sebagai perdana menteri, mengetuai kerajaan perpaduan yang dibentuk bersama BN, GPS dan GRS. – 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen