Semangat ahli Parlimen baharu selepas PRU15


Desmond Davidson Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Sri Aman Doris Sophia Brodi wanita Dayak pertama yang menjadi wakil rakyat selepas menang dalam PRU15 baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight, 26 November, 2022.

BAGI Doris Sophia Brodi matlamat untuk menjadikan kawasan parlimen Sri Aman maju dan penduduknya bersatu padu tidak mustahil dapat dicapai dengan usaha dan komitmen yang berterusan.

Brodi melakar sejarah sebagai ahli Parlimen wanita berketurunan Dayak pertama di Dewan Rakyat selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Beliau yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya menang dalam pertandingan empat penjuru dengan 4,039 majoriti undi atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Walaupun masyarakat Dayak kumpulan etnik terbesar di Sri Aman, Brodi mahu semua penduduk termasuk Cina dan Melayu sama-sama menikmati kemajuan seperti yang dicita-citakan selama ini.

“Saya mahu jadi wakil rakyat untuk semua penduduk Sri Aman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sri Aman terkenal dengan bandar terbesarnya Simanggang di mana termeterainya Deklarasi Sri Aman iaitu perjanjian damai antara kerajaan Sarawak dan pengganas komunis pada 21 Oktober 1973.

Bandar yang terletak kira-kira 200km dari Kuching itu kemudian ditukar namanya kepada Bandar Sri Aman sempena mengingati peristiwa bersejarah itu. Pada 25 Oktober 2019, Bandar Sri Aman secara rasmi dikenali semula sebagai Simanggang memandangkan penduduk tempatan lebih menyukai  nama asalnya.

Brodi yang juga ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata tugas pertamanya selepas menang PRU15 ialah memahami keperluan sebenar penduduk Sri Aman sebelum membuat perancangan seterusnya.

Tugas itu, katanya, menjadi lebih mudah dengan adanya pelan induk pembangunan yang telah dirangka Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) bagi memacu pembangunan Sri Aman agar bertambah maju menjelang 2030.

Menurut Brodi keutamaannya kini adalah untuk mengkaji pelan induk tersebut.

Tidak ketinggalan adalah memberi fokus kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan di Sri Aman, katanya.

Tambah beliau, matlamat ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya dengan usaha berterusan bersama tiga Adun GPS – Snowdan Lawan (Balai Ringin), Francis Harden Hollis (Simanggang) dan Mong Dagang (Bukit Begunan) – yang berada di bawah kawasan parlimen Sri Aman.

Dalam PRU15 pada Sabtu lepas, Brodi memperoleh 14,131 undi, menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Wilson Entabang yang memperoleh 10,092 undi, calon Bebas Masir Kujat (5,673) dan Naga Libau@Tay dari Pakatan Harapan (2,021).

Kerusi Parlimen Sri Aman sebelum ini disandang Kujat selama tiga penggal atas tiket PRS.

Brodi antara lapan muka baharu yang bertanding kerusi parlimen di Sarawak pada PRU15. Tujuh yang lain adalah Rodiyah Sapiee yag bertanding gi kersi Parlimen Batang Sadong, Mohamad Shafizan ( Batang Lupar), Roy Angau Gingkoi (Lubok Antu), Richard Rapu (Betong), Huang Tiong Sii (Sarikei), Edwin Banta (Selangau) dan Chiew Choon Man (Miri).

Kesemua mereka merupakan calon GPS kecuali Chiew dari PH. – 26 November, 2022. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen