Blinken ucap tahniah Anwar PM10


Setiausaha Negara AS Antony J. Blinken berkata AS komited untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, makmur, selamat dan berdaya tahan. – Gambar EPA, 25 November, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) berharap untuk mengeratkan lagi persahabatan dan kerjasama dengan Malaysia berdasarkan prinsip demokrasi yang dikongsi serta menghormati hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang di bawah kepimpinan perdana menteri yang baharu dilantik Anwar Ibrahim.

Setiausaha Negara AS Antony J. Blinken yang mengucapkan tahniah kepada Anwar dan rakyat Malaysia berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan berjuta-juta rakyat Malaysia telah mengundi, kebanyakan mengundi buat kali pertama, menjadikan pilihan raya itu sebagai lambang kuasa demokrasi.

“AS dan Malaysia sudah menjalin hubungan yang kukuh – perkongsian komprehensif – berakar umbi dalam hubungan ekonomi, keselamatan dan rakyat dengan rakyat. 

“Kami komited bekerjasama dengan Malaysia untuk memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, makmur, selamat dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu menerusi Twitter, jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price berkata Washington berharap untuk memajukan matlamat bersama demi masa depan yang bebas dan terbuka, makmur, selamat serta berdaya tahan.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan pilihan raya umum,” kata beliau.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada semalam. – Bernama, 25 November, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen