Pendekatan kerajaan perpaduan sesuai lanskap politik Malaysia, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

Kerajaan perpaduan adalah langkah paling sesuai untuk Malaysia dan negara berbilang kaum ini akan menyaksikan perubahan lanskap politik tidak lama lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2022.

PEMBENTUKAN sebuah kerajaan perpaduan, seperti dicadangkan Yang di-Pertuan Agong adalah langkah paling sesuai untuk negara ini keluar daripada kebuntuan politik selama hampir seminggu selepas PRU15, kata pemerhati politik.

Mereka berkata Malaysia tidak lama lagi akan melihat lanskap politik baharu menerusi kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) termasuk gabungan parti dari Sabah dan Sarawak.

Kemelut politik berakhir selepas Agong bersetuju menerima Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

Majlis Raja-Raja bertemu dalam satu mesyuarat khas pagi semalam di Istana Negara bagi membincangkan penyelesaian kepada kebuntuan politik dalam menubuhkan kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir.

Sehari sebelumnya, Agong bertemu Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin untuk membincangkan kemungkinan menubuhkan kerajaan perpaduan.

Muhyiddin bagaimanapun menolak cadangan itu kerana PN memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PH.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata tidak ada pilihan lain lagi untuk PH atau BN bagi beralih daripada pergolakan politik, kecuali menerima hakikat mereka perlu bekerjasama.

“Pada masa ini, tiada siapa pun yang ada majoriti. PH perlu bekerjasama dengan BN dan BN kena terima hakikat mereka kalah teruk.

“PN tidak ada lagi dalam gambaran ini kerana mereka tidak mahu sebarang kerjasama politik dengan PH. Maka, pilihan terbaik untuk sebuah kerajaan perpaduan ialah antara PH dan BN.

“Ini senario baharu untuk negara kita dan kita akan lihat lanskap politik yang baharu,” katanya.

Senada dengan Hisommudin, Dr Mazlan Ali berkata Malaysia belum bersedia untuk menerima sistem kerajaan minoriti untuk mentadbir negara.

Beliau berkata konsep kerajaan perpaduan paling sesuai dalam negara majmuk seperti Malaysia.

“Jika anda lihat Kanada, mereka ada kerajaan minoriti, tetapi itu Kanadan, sebuah negara membangun, kita bukan seperti mereka.

“Konsep kerajaan perpaduan sesuai dengan kita dengan keadaan seperti ini. Sebelum ini ada perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan Ismail Sabri Yaakob tetapi itu tidak sekukuh sebuah kerajaan perpaduan.

“Konsep ini boleh difahami dengan mudah oleh ramai pihak, terutama rakyat biasa. Ia juga dapat mengelak perkara tidak diingini berlaku,” kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu.

Pada PRU15, PH menang 82 kerusi termasuk parti sekutunya DAP Sarawak dan Muda.

PN bersama PAS menang 73 kerusi sementara BN menang 30 kerusi.

Selama hampir seminggu, PH dan PN mendakwa mereka mempunyai jumlah yang cukup untuk membentu kerajaan. PH membuat langkah pertama bertemu pemimpin BN pada Selasa, tetapi tiada persetujuan dicapai.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dikritik selepas beliau menghantar surat sokongan ke istana menyokong Anwar sebagai perdana menteri. – 25 November, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen