BN dan GPS mungkin dapat jawatan TPM, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri baharu Malaysia Anwar Ibrahim memberi bayangan jawatan timbalan perdana menteri akan diberikan kepada Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 November, 2022.

PERDANA Menteri baharu Malaysia Anwar Ibrahim memberi bayangan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing akan diberi jawatan timbalan perdana menteri (TPM) dalam kabinetnya nanti.

Presiden PKR itu berkata memandangkan perdana menteri daripada Pakatan Harapan (PH), yang merupakan blok terbesar di Parlimen, jawatan timbalan perdana menteri pula akan diberikan kepada gabungan yang kedua dan ketiga terbesar dalam Dewan Rakyat.

“Memandangkan perdana menteri daripada PH, TPM lazimnya daripada parti komponen terbesar seterusnya, iaitu BN dan dari Malaysia Timur ialah GPS,” katanya pada sidang media pertamanya di Sungai Long, Kajang, malam ini.

Ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Anwar berkata beliau akan melantik dua timbalan perdana menteri jika PH membentuk kerajaan persekutuan.

Beliau berkata daripada dua timbalan itu, seorang dari Semenanjung dan seorang dari Malaysia Timur.

Ditanya sama ada mereka yang mempunyai kes mahkamah akan diberi jawatan menteri, Anwar berkata perkara itu belum dibincangkan, sekurang-kurangnya dari perspektif kerajaan perpaduan.

“Isu ini ada dibangkitkan. Bagi PH, pendirian kita jelas. Tetapi memandangkan ia melibatkan isu kerajaan perpaduan, kita perlu berbincang.

“Bezanya bila hukuman dijatuhkan. Bila ada pendakwaan, kalau ikut pendirian PH susah untuk kita teruskan (dilantik sebagai anggota Kabinet).

“Tetapi, bagi saya ada ruang untuk berbincang dengan parti-parti dalam kerajaan perpaduan ini secara terperinci,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Presiden PKR mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 hari ini. – 24 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen