Anwar perlu segera tangani masalah ekonomi, hubungan etnik, kata pemerhati


Noel Achariam

Anwar Ibrahim perlu tangani kos sara hidup, isu ekonomi dan hubungan antara etnik sebaik saja memegang jawatan tertinggi negara, kata pemerhati politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2022.

ANWAR Ibrahim perlu menangani kos sara hidup, isu ekonomi dan hubungan antara etnik sebaik sahaja beliau memegang jawatan tertinggi negara, kata pemerhati politik.

Mereka berpandangan pengalaman Anwar sebagai bekas menteri kewangan akan menyaksikan peningkatan dalam taraf ekonomi negara dan paling penting mengukuhkan Belanjawan 2023.

Pemerhati juga melihat ke arah reformasi oleh pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagi meringankan beban rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata cabaran awal Anwar adalah untuk menangani pandangan pelampau.

Beliau berkata satu lagi isu yang perlu ditanganinya ialah memulihkan keyakinan terhadap hala tuju negara.

“Saya fikir rakyat Malaysia boleh mengharapkan kerajaan yang lebih inklusif menangani rungutan pelbagai segmen masyarakat.

“Fokus utama beliau sepatutnya menangani isu-isu pendapatan dan menguruskan hubungan antara etnik di negara ini,” kata Tunku Mohar kepada The Malaysian Insight.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara petang semalam.

PH dijangka membentuk kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) dan parti lain.

Tunku Mohar berkata rakyat boleh mengharapkan banyak pembaharuan apabila melihatkan manifesto PH dan ucapan Anwar semasa kempen PRU15.

“Kita boleh jangka reformasi dari segi menutup ketirisan ekonomi, dasar fiskal dan pembaharuan pasaran lain yang berkaitan.

“Ini termasuk dasar yang akan meringankan beban rakyat, dengan peningkatan kos sara hidup.”

Rakyat mengharapkan banyak pembaharuan apabila melihatkan manifesto PH dan ucapan Anwar Ibrahim semasa kempen PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2022.

Beliau berkata sebagai bekas menteri kewangan, Anwar mempunyai pengalaman yang diperlukan untuk membantu membawa negara keluar daripada kemelesetan ekonomi ketika ini kerana beliau mempunyai hubungan serantau dan antarabangsa untuk membantunya.

“Anwar boleh membantu membawa reformasi institusi, memulihkan keyakinan pelabur dan pandangan ekstremis yang sederhana.”

Mengenai sama ada Anwar akan mempunyai Jemaah Menteri yang ramai, beliau berkata melihat kepada draf perjanjian antara PH dan BN, ia ada bincang persoalan tersebut dalam kalangan parti komponen.

“Beliau sekurang-kurangnya, saya fikir, akan kecilkan saiz Kabinet.”

Oh Ei Sun dari Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia berkata perkara pertama yang perlu Anwar lakukan sebaik menjadi perdana menteri ialah memastikan Belanjawan 2023 diluluskan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata belanjawan ini juga akan menjadi undi percaya kepada Anwar kerana pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan beliau mempunyai 115 surat sokongan Ahli Parlimen sebagai perdana menteri.

“Jika Anwar berjaya memastikan belanjawan diluluskan bermaksud beliau mendapat sokongan Parlimen. Jika tidak, Ahli Parlimen perlu putuskan sokongan mereka.

“Paling penting beliau juga perlu berusaha memulihkan dan menggiatkan semula ekonomi, menurunkan inflasi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.”

Oh berkata satu lagi cabaran adalah memulihkan jurang hubungan antara kaum di Malaysia.

Perkara pertama yang perlu Anwar Ibrahim lakukan sebaik saja menjadi perdana menteri ialah memastikan Belanjawan 2023 diluluskan di Dewan Rakyat, kata pemerhati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2022.

“Reformis dan progresif mengundi beliau dan juga mereka yang konservatif. Jadi, bagaimana beliau boleh memainkan peranan untuk cuba bersatu dan membawa kedua-dua kumpulan ini bersama-sama?

Mengenai lantikan Kabinet, beliau percaya Anwar akan mempunyai Kabinet tipis kurang 30 orang.

Pemerhati politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Anwar akan melihat kepada pemulihan ekonomi, perpaduan dan peningkatan peluang untuk rakyat.

“Anwar akan segera menumpukan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan isu sosio-ekonomi di kalangan rakyat. Beliau akan mempunyai Kabinet yang mempunyai misi dan visi yang jelas.”

Beliau berkata rakyat amat berharap Anwar dapat meningkatkan ekonomi negara, mata wang, meningkatkan FDI (pelaburan langsung asing), mengukuhkan perpaduan dan memerangi ekstremis.

Mazlan berkata cabaran Anwar adalah untuk mengukuhkan sokongan di parlimen dan memberi tumpuan kepada hubungan dengan parti-parti dalam kerajaan perpaduan bagi memastikan kestabilan.

“Kerajaan perpaduan adalah sesuatu yang baru untuk Malaysia, tetapi ia adalah pilihan yang baik apabila terdapat Parlimen tergantung selepas PRU15.” – 25 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen