Anwar hadapi undi percaya 19 Disember


Ravin Palanisamy

Perdana menteri baharu Malaysia Anwar Ibrahim malam ini berkata usul pertama selain angkat sumpah adalah undi percaya kepadanya pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 November, 2022.

PERDANA Menteri baharu Anwar Ibrahim berkata beliau akan berdepan usul undi percaya di Parlimen bagi membuktikan beliau cukup jumlah untuk membentuk kerajaan.

“Usul pertama (apabila Dewan Rakyat bersidang pada 19 Disember) selain daripada angkat sumpah adalah usul dari kerajaan iaitu undi percaya. Jadi tidak timbul keresahan kita tentang keabsahan yang ada,” katanya pada sidang media pertamanya di Sungai Long, Kajang malam ini.

Dalam pada itu Anwar turut mengisytiharkan Isnin depan sebagai cuti umum khas.

Anwar berkata beliau mahu mengotakan janjinya dengan mengisytiharkan cuti umum.

Katanya, beliau perkara tersebut telah dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya bersyukur kerana hari ini dan sebelumnya keadaan dan keyakinan pelabur juga berubah, ringgit diperkuat dan bursa lebih segar. 

“Justeru, saya putuskan esok tidak boleh diberi cuti umum tetapi diganti dengan hari Isnin (28 Nov),

“Saya telah berjanji cuti umum tetapi kerana kebuntuan politik, perkara ini tidak diselesaikan pada Isnin (lepas),” katanya.

Anwar berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Yang di-Pertuan Agong berhubung cuti umum namun ia tertangguh susulan kebuntuan penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu lepas. 

Anwar juga membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dengan mengatakan beliau tidak sama dengan bekas perdana menteri dalam membuktikan sokongannya di Parlimen.

“Muhyiddin cabar kekuatan kami, yang mana beliau sendiri tidak berbuat demikian. Saya bukan perdana menteri seperti beliau yang mengelak,” kata Anwar.

“Malah, saya sudah minta PH mencadangkan usul undi percaya pada hari pertama Parlimen,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa beliau mendapat sokongan meyakinkan dengan hampir 140 ahli parlimen.

Parlimen dijadualkan bersidang pada 19 Disember.

Anwar juga berkata di bawah semangat kerajaan perpaduan, mereka tidak menolak sebarang kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti atau gabungan lain, termasuk PN.

“Kami hargai hakikat yang kami kini mempunyai komitmen penuh daripada 30 ahli Parlimen BN.

“Dan hari ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg memberikan komitmen tegas yang ahli Parlimen dan Gabungan Parti Sarawak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

“Saya ingin tegaskan dalam acara pertemuan pertama dengan rakyat selaku perdana menteri bagi seluruh rakyat Malaysia, mewakili semua kaum dan menjamin keharmonian semua rakyat, saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini stabil.

“Saya juga ingin menyatakan kesediaan menerima rakan-rakan termasuk daripada PN, walaupun kenyataan pengerusi pada peringkat awal tidak begitu memberangsangkan,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 hari ini. – 24 November, 2022


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen