Turkiye siasat bekas CEO bursa mata wang kripto FTX


Pihak berkuasa Turkiye turut merampas aset Bankman-Fried dan sekutu FTX lain. – Gambar Facebook, 24 November, 2022.

TURKIYE memulakan siasatan ke atas Samuel Bankman-Fried, bekas ketua pegawai eksekutif bursa mata wang kripto FTX atas dakwaan penipuan, Kementerian Perbendaharaan dan Kewangan negara itu mengumumkan pada Rabu.

Pihak berkuasa Turkiye turut merampas aset Bankman-Fried dan sekutu lain, lapor Anadolu.

Menteri Perbendaharaan dan Kewangan Nureddin Nebati berkata siasatan itu dilancarkan oleh Lembaga Siasatan Jenayah Kewangan negara (Masak).

Menggariskan risiko pendigitalan yang juga menawarkan peluang, Nebati berkata pembabitan dalam pasaran mata wang kripto memerlukan “perhatian maksimum”.

FTX yang merupakan pasaran tukaran mata wang kripto ketiga terbesar di dunia daripada segi jumlah dagangan harian, memfailkan muflis awal bulan ini disebabkan oleh masalah kecairan.

Walaupun Bankman-Fried kemudiannya memohon maaf kepada pelabur menerusi beberapa siri tweet, mata wang kripto mengalami kejatuhan teruk akibat kegawatan kewangan dan kesedaran pelabur akan risiko yang terlibat.

Harga Bitcoin merosot di bawah AS$16,000 dua minggu lalu, hilang semua keuntungan yang diperoleh sepanjang dua tahun lepas, manakala pasaran kripto susut nilai lebih daripada 20 peratus dalam dua hari terakhir di sebalik masalah itu. – Bernama, 24 November, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen