Perikatan cabar Anwar dedah SD sokongan majoriti


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin percaya gabungan partinya mendapat sokongan majoriti sewaktu diminta mengemukakan surat akuan bersumpah ahli Parlimen ke Istana Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti menguasai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membolehkannya dilantik ke jawatan itu.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mencabar demikian kerana percaya gabungan partinya mendapat sokongan majoriti sewaktu diminta mengemukakan perkara itu ke Istana Negara.

Presiden Bersatu itu berkata, Anwar perlu mengemukakan bukti tersebut melalui surat akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen yang menyokongnya.

“Demi keyakinan rakyat dan keabsahan Anwar sebagai perdana menteri adalah sewajarnya beliau membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” kata Muhyiddin.

Beliau menyebut mengenai syarat awal yang disebut Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 20 November untuk mengemukakan SD tersebut.

“Kalau Anwar kata bilangan cukup dia akan angkat sumpah sebentar lagi, rakyat nak tahu betul tidak, apa buktinya, penting untuk mengelakkan keresahan, ketidakpuasan hati,” kata Muhyiddin. 

Dalam sidang medianya, ahli Parlimen Pagoh itu percaya beliau mempunyai sokongan 115 ahli Parlimen, melebihi 112 yang diperlukan bagi membolehkannya dilantik sebagai perdana menteri.

Muhyiddin berkata, SD sokongan yang dihantar kepada pihak istana pada 21 November menunjukkan beliau mendapat sokongan daripada 73 ahli Parlimen PN.

Selain itu, ia turut melibatkan 22 dari Gabungan parti Sarawak (GPS), sepuluh dari Barisan Nasional (BN), enam dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), satu dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan dua ahli Parlimen Bebas, katanya.

Satu lagi akuan dihantar pada pagi 22 November dari kerusi Baram menjadikan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya seramai 115, dakwa Muhyiddin.

“Iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai perdana menteri.

“Hari ini, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan Anwar yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai perdana menteri,” kata Muhyiddin.

Beliau juga menunggu jawapan dan bukti daripada Anwar berhubung tuntutannya itu.

“Kalau nak sokong kena dengan SD bukan surat dari langit. Kalau hari itu saya kata 115 (sokongan ahli Parlimen) tapi orang berkaitan tak hantar SD itu boleh dipertikaikan,” katanya.

Bekas perdana menteri itu juga berkata beliau tidak maklum berhubung dakwaan penarikan balik sokongan 10 ahli Parlimen BN terhadapnya.

Anwar mengangkat sumpah jawatan tersebut selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda terdahulu mengadakan perbincangan khas bersama Raja-Raja Melayu berhubung pelantikan tersebut. – 24 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen