Perikatan akhirnya setuju sertai kerajaan perpaduan


Alfian Z.M. Tahir

Perikatan akhirnya bersetuju untuk menyertai pembentukan itu demi kesejahteraan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) hari ini mengumumkan gabungan itu terbuka untuk menyertai pembentukan kerajaan perpaduan, beberapa hari selepas menolak tawaran daripada pihak istana.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin berkata gabungan itu bersetuju untuk menyertai pembentukan itu demi kesejahteraan rakyat.

“Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat hari ini membincangkan kemungkinan untuk menyertai pembentukan kerajaan perpaduan serta mengadakan perbincangan dengan parti politik mengenai perkara itu,” kata Hamzah.

“Majlis Tertinggi bersetuju PN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan demi kestabilan negara.”

Pada Selasa, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Pengerusi PN itu berkata Yang di-Pertuan Agong menitahkannya semasa menghadap agar PN bekerjasama dengan PH tetapi beliau menolaknya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 Sabtu lepas, PH memenangi 76 kerusi, manakala ahli gabungannya DAP Sarawak memperoleh lima kerusi dan Muda satu, dengan jumlah 82 kerusi.

PN dan PAS masing-masing memenangi 51 dan 22 kerusi, dengan jumlah gabungan 72 kerusi.

Barisan Nasional hanya boleh mengumpulkan 30 kerusi, dengan ramai pemimpin gabungan itu mengalami kekalahan.

Gabungan Parti Sarawak mendapat 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Bebas (2). – 24 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen