Presiden Parti Bumi Kenyalang ditahan kes protes anti PAS


Desmond Davidson

Presiden PBK Voon Lee Shan didakwa di mahkamah pagi ini bagi tuduhan berhubung protes anti PAS di Kuching semalam. – Gambar ihsan PBK, 24 November, 2022.

PRESIDEN Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan didakwa di mahkamah pagi ini bagi tuduhan berhubung protes anti PAS di Kuching semalam, kata ahli parti.

Setiausaha Agung PBK Priscilla Lau berkata Voon berdepan tuduhan mengikut Akta hasutan 1948.

Katanya, Voon akan didakwa bersama anaknya Danny dan ahli parti Lue Cheng Hing, Phang Aik Hua dan Chan Chee Wee berhubung konvoi jalanan diadakan mereka petang semalam bagi membantah keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di mana parti Islam PAS adalah anggota gabungan itu.

Sebahagian konvoi lima kenderaan itu dilekatkan dengan kain rentang politik dalam Bahasa Inggeris dan Cina. Konvoi bermula dari Padang Merdeka di tengah ibu kota hingga Gala City, sejauh kira-kira 6km.

Salah satu kain rentang itu tertulis “Say No to PAS”.

Voon dilaporkan ditahan kira-kira 11 malam semalam ketika beliau hadir ke ibu pejabat polis daerah Kuching di Simpang Tiga untuk menyerah diri selepas dimaklumkan polis sedang mencarinya.

Menerusi aplikasi Whatsapp, beliau memaklumkan ditahan mengikut Akta Hasutan tetapi polis tidak memberitahunya aktiviti atau perkataan digunakannya yang melanggar undang-undang.

Beliau mendakwa lebih 10 anggota polis datang bersama kenderaan polis lengkap bersenjata datang untuk menahan mereka.

“Kami hanya melakukan kerja politik secara aman dan tidak nampak sebarang kesalahan.

“Sejak beberapa hari selepas pilihan raya umum, rakyat Sarawak menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan GPS membentuk kerajaan persekutuan dengan PAS.

“Walaupun ramai rakyat Sarawak meluahkan pandangan di media sosial, Premier Abang Johari Openg masih mahu meneruskan rancangan mereka.

“Orang awam bimbang kerana PAS dilihat sebagai parti ekstremis dan gaya politik serta ideologi mereka tidak diterima di Sarawak.”

Voon adalah calon PRU15, bertanding di Bandar Kuching menggunakan tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Voon kalah dan hilang deposit selepas hanya menerima 1,760 undi. Penyandang Kelvin Yii daripada DAP menang di kerusi itu.

Rakyat Sarawak dilaporkan melancarkan tiga petisyen atas talian menggesa ahli Parlimen bukan Islam dalam GPS dan ahli Parlimen PN di negeri itu Ali Biju (Saratok) memberi tekanan kepada pemimpin gabungan empat parti berkenaan supaya tidak menyokong PN untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan. – 24 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen