Perak dan Pahang ‘clue terbaik’ kerjasama kerajaan Persekutuan, kata Puad


Ravin Palanisamy

Ahli MKT Umno Puad Zarkashi memberikan petanda paling jelas parti itu mungkin bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi memberikan petanda paling jelas parti itu mungkin bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

Bekas ahli Parlimen Batu Pahat itu memberikan bayangan tentang kemungkinan kerjasama di peringkat Persekutuan selepas MKT malam tadi memutuskan untuk menolak menjadi sebahagian dalam kerajaan Persekutuan dipimpin Perikatan Nasional (PN).

“Di lobi PWTC ramai pemberita tanya ‘PH atau PN’. Jawapannya mudah. PN tolak kerajaan perpaduan. Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur titah Yang di-Pertuan Agong.

“Penubuhan kerajaan Perak dan Pahang adalah ‘clue’ terbaik. Sudah tentu bukan PN,” katanya di Facebook.

Di Perak, PH mencapai persetujuan dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri, walaupun PH mempunyai lebih banyak kerusi berbanding BN.

Sementara itu, PN paling banyak memenangi kerusi di negeri itu pada PRU15, tetapi tidak memperoleh majoriti.

Rundingan juga kelihatan positif tentang kemungkinan kerajaan negeri PH dan BN dibentuk di Pahang. Di negeri ini, PN juga pemenang kerusi paling banyak tetapi tidak memperoleh majoriti.

Umno menolak kerjasama dengan PN untuk menubuhkan kerajaan gabungan, dan berkata ia menyokong cadangan Agong untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata mesyuarat MKT malam tadi bertujuan mempertimbangkan cadangan kerjasama dengan PN dan PH selepas keputusan PRU15 menyebabkan Parlimen tergantung.

Umno hanya menang 26 kerusi sementara parti sekutunya menang empat lagi kerusi menjadikan 30 kerusi keseluruhan untuk BN.

Puad berkata Umno amat serious dan demokratik, dengan keputusan dibuat secara konsensus.

“BN akan menyertai kerajaan perpaduan atau apa apa bentuk yang lain. Umno buat keputusan demi negara dengan mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Umno akan turun ke bawah untuk beri penjelasan,” katanya.

Agong dan Raja-Raja Melayu akan bermesyuarat pagi ini bagi membincangkan bagaimana untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

PH menang 82 kerusi, PN memperoleh 73 kerusi.

PRU15 bagi satu lagi kerusi Parlimen iaitu Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember berikutan calonnya meninggal dunia ketika tempoh kempen. – 24 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen