Umno Terengganu gesa SPRM siasat sumber dana Perikatan


Ravin Palanisamy

Pengerusi BN Terengganu Ahmad Said mendakwa PN membelanjakan dana yang berlebihan di negeri itu semasa PRU15. – Gambar Facebook, 24 November, 2022.

UMNO Terengganu akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat sumber dana Perikatan Nasional (PN), kata ketua parti itu Ahmad Said.

Bekas menteri besar Terengganu itu mendakwa PN membelanjakan sejumlah dana yang berlebihan di negeri itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir baru-baru ini.

“(Umno) Terengganumemutuskan untuk meminta SPRM menyiasat sumber dana PN yang digunakan pada PRU15, khususnya di negeri ini,” kata Ahmad, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata PN adalah gabungan politik terkaya, menerima projek bernilai berbilion ringgit semasa pandemik Covid-19.

Sebagai tindak balas, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menolak dakwaan Anwar ia adalah gabungan politik terkaya.

Bekas perdana menteri itu juga berkata PN hanyalah sebuah gabungan baharu yang tidak mempunyai banyak sumber.

Ketua PH Melaka Adly Zahari juga berkata gabungan itu akan melancarkan siasatan terhadap dakwaan kerajaan Presiden Bersatu Muhyiddin membelanjakan RM500 bilion semasa pandemik Covid-19, jika ia memenangi pilihan raya umum.

PAS, parti komponen PN, menyapu bersih semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu buat pertama kali dalam sejarah pada PRU15.

Dalam kalangan calon PN, PAS meletakkan tujuh calon manakala Bersatu mempunyai seorang calon di negeri itu, di mana mereka bertanding di bawah logo PAS dan berjaya menewaskan semua pencabar, termasuk Ahmad di Kemaman, dan bekas setiausaha Majlis Syura PAS Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Kuala Nerus, yang bertanding di bawah tiket Barisan Nasional. – 24 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen