GPS mampu atasi kemarahan akar umbi, kata penganalisis


Desmond Davidson

Penganalisis percaya kemarahan akar umbi tidak cukup kuat untuk mengancam gabungan empat parti dalam GPS berhubung keputusannya sokong PN bagi membentuk kerajaan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

SUASANA tidak puas hati mulai melanda Sarawak pada masa ini terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung keputusannya untuk menyokong Perikatan Nasional (PN), tetapi pemerhati politik berkata ia akan berlalu tanpa membawa kesan besar.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata rasa tidak senang itu diwujudkan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang berselindung di balik isu agama, untuk menggesa GPS menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Penganalisis politik James Chin berkata beliau percaya kemarahan itu tidak cukup kuat untuk mengancam gabungan empat parti itu.

Empat parti yang semuanya berpangkalan di negeri berkenaan termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Chin yang juga pensyarah Universiti Tasmania berkata GPS akan mampu menempuh protes diterimanya kerana menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan parti Islam PAS untuk membentuk kerajaan persekutuan, walaupun kempen pilihan raya mereka ada ucapan anti Kristian.

PAS, dengan 49 kerusi Parlimen, kini menjadi parti terbesar dalam PN dan agenda mereka menjadikan Malaysia negara Islam, sudah sekian lama meresahkan rakyat Sarawak, yang terdiri daripada 62% bukan Islam.

“Ramai rakyat bukan Islam dan Kristian di Sarawak yang terkejut dengan ucapan anti Kristian dibuat Muhyiddin,” katanya merujuk kepada ucapan pengerusi PN itu dalam video di TikTok di mana Muhyiddin meminta orang ramai jangan mengundi PH kerana gabungan itu disokong yahudi dan Kristian yang membawa agenda Kristianisasi di negara ini.

Chin berkata walaupun wujud rayuan kepada GPS untuk tidak menyokong PN dan “ektremis agama”, gabungan itu tidak mungkin berganjak daripada kedudukannya kerana pilihan raya negeri tidak akan diadakan dalam masa terdekat.

GPS tidak akan bekerjasama dengan gabungan yang ada DAP, katanya.

“Pilihan raya negeri paling awal boleh diadakan ialah dalam tempoh empat tahun.

“Pada masa itu nanti, semuanya sudah berlalu dan dilupakan. Rakyat Sarawak, sama seperti rakyat Malaysia yang lain, mudah lupa.

“Tetapi saya fikir alasan lebih penting ialah mereka memang tidak boleh bekerjasama dengan DAP. GPS mengalami pengalaman buruk sepanjang 22 bulan PH berkuasa.

“Ada banyak perselisihan antara mereka, khususnya dengan DAP,” kata Chin, memberi bayangan berkaitan menteri kewangan PH pada masa itu, Lim Guan Eng. – 24 November, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen