Jamal Yunos desak presiden MCA berundur


Ravin Palanisamy

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos hari ini berkata lebih 100 ketua bahagian Umno akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia esok sebagai tanda protes terhadap Presiden MCA Wee Ka Siong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos menggesa Wee Ka Siong meletak jawatan selepas tersebar surat yang didakwa ditandatangani presiden MCA itu yang mengusulkan undi tidak percaya terhadap Presiden Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya lebih 100 ketua bahagian Umno akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia (WTC) esok sebagai tanda protes terhadap tindakan Wee itu.

“Kami ketua bahagian Umno akan mempertahankan presiden kami dan pengerusi BN, dan kami mahu Wee Ka Siong letak jawatan,” katanya kepada media di ibu pejabat Umno di Menara Dato Onn malam ini.

Hari ini tersebar surat didakwa ditandatangani Wee, Presiden MIC S A Vigneswaran dan imbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup, yang menggesa undi tidak percaya terhadap Zahid.

Surat bertarikh hari ini (23 November) itu menyebut Zahid mengkhianati keputusan Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat semalam untuk berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan.

Turut dinyatakan tindakan Zahid mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa BN menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesepuluh bertentangan dengan konsensus dalam mesyuarat Dewan Tertinggi gabungan itu. 

Surat iu disahkan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut mendesak Wee berundur kerana prestasi buruk MCA dalam pilihan raya umum minggu lepas.

“Dia sepatutnya letak jawatan dulu sebab dia bertanding 44 kerusi, tetapi menang dua kerusi kawasan orang Melayu.

“Ia bermakna dia gagal mendapat sokongan orang Cina dan perlu mengambil tanggungjawab (letak jawatan) itu,” katanya.

Pagi tadi, tiga pemimpin tertinggi BN menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi tadi, bagi merungkai kemelut politik negara yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

Zahid dilapor berkata Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

“Titah Tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” katanya dipetik Malaysiakini.

Berkenaan keputusan BN untuk tidak menyokong PH atau Perikatan Nasional (PN), Zahid menjawab: “Tak ada, tak ada… Bukan itu titah Tuanku.”

Beliau seterusnya berkata titah baginda itu akan dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN.

Yang di-Pertuan Agong semalam menerima mengadap Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Menurut Anwar, Seri Paduka mencadangkan agar PH dan PN bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam sidang medianya selepas mengadap Agong menolak saranan baginda bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan PN konsisten dengan pendiriannya untuk tidak bergabung dengan PH.

Bagaimanapun, Anwar menyatakan kesediaan untuk memenuhi kehendak Agong dengan mana-mana pihak.

Dalam pilihan raya umum minggu lepas, PH menang 83 kerusi. PN memperoleh 73 kerusi manakala BN hanya menang 30 kerusi. – 23 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen