BN beritahu Perikatan tawaran Anwar, kata sumber


Ravin Palanisamy

PN juga diminta untuk menyenaraikan tawaran mereka kepada BN secara bertulis, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

BARISAN Nasional (BN) memaklumkan kepada Perikatan Nasional (PN) tawaran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan, kata sumber, mengulas pertemuan antara pemimpin dua gabungan itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, PN juga diminta untuk menyenaraikan tawaran mereka kepada BN secara bertulis.

“Mereka mahu tawaran itu dibuat secara bertulis dan kedua-dua tawaran (PH dan PN) akan dibincangkan dalam mesyuarat malam ini,” katanya.

Majlis Kerja Tertinggi Umno dijadual bermesyuarat pada jam 8 malam ini, diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Pertemuan petang tadi berlangsung selama dua jam. Semua pemimpin kedua-dua gabungan itu menggunakan laluan keluar di bahagian belakang hotel bagi mengelak bertemu wakil media. 

Terdahulu, pemipin BN mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin petang ini bagi mendengar cadangan pengerusi PN itu berkenaan kerajaan perpaduan.

Selain Muhyiddin, turut hadir adalah Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden Beersatu Ahmad Faizal Azumu, serta Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dan Ronald Kiandee.

BN pula diwakili Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hassan, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden MIC M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Joseph Kurup.

Pertemuan petang ini diadakan selepas tiga pemimpin tertinggi BN menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi tadi, bagi merungkai kemelut politik negara yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata Yang di-Pertuan Agong pagi tadi menitahkan semua 30 ahli parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

“Titah Tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” katanya dipetik Malaysiakini.

Berkenaan keputusan BN untuk tidak menyokong PH atau PN, Zahid menjawab: “Tak ada, tak ada… Bukan itu titah Tuanku.”

Beliau seterusnya berkata titah Baginda itu akan dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN malam ini.

Selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, Anwar berkata baginda mencadangkan agar PH dan PN bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam sidang medianya selepas mengadap Agong menolak saranan Baginda bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan PN konsisten dengan pendiriannya untuk tidak bergabung dengan PH.

Bagaimanapun, Anwar menyatakan kesediaan untuk memenuhi kehendak Agong dengan mana-mana pihak.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 minggu lepas, PH menang 83 kerusi. PN memperoleh 73 kerusi manakala BN hanya menang 30 kerusi. – 23 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen