Proses pasca-PRU: Kekaburan, kekangan bentuk kerajaan baharu


G Manimaran

Istana Negara menjadi tumpuan sejak semalam berikutan kemelut penubuan kerajaan dan pelantikan perdana menteri yang masih belum selesai.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

KITA telah masuk hari keempat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Perdana menteri belum dilantik. Kerajaan yang baharu juga belum kelihatan. Kedua-duanya amat penting untuk Parlimen bersidang dalam tempoh 120 hari dari kali terakhir persidangan dilangsungkan.

Kemelut yang berterusan sekarang menimbulkan beberapa persoalan, antara lain disebabkan oleh tafsiran dan kekaburan yang wujud. Kita tidak pernah mengalami situasi seperti ini sebelum ini.

Antara persoalan-persoalan yang memerlukan penjelasan peruntukan ialah tempoh masa yang harus ada dan wajar diberikan untuk tujuan pembentukan sebuah kerajaan baharu.

Selain itu, pelantikan perdana menteri, kedudukan perdana menteri dan anggota Jemaah Menteri sementara, definisi kerajaan minoriti dan sama ada boleh dilantik seorang perdana menteri sementara selepas pilihan raya umum.

Selain mengenai pengurusan pilihan raya, di peringkat pusat, Perlembagaan Persekutuan ada menyediakan penghuraian mengenai proses pelantikan anggota Jemaah Menteri dan perdana menteri, dan kedudukan perdana menteri jika gagal dalam undi usul tidak percaya.

Sebelum satu Jemaah Menteri dilantik, Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri (dalam kalangan) seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Peruntukan Perkara 43(2) itu mengatakan bahawa “pada hematnya (Yang di-Pertuan Agong) mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”, sekali gus merujuk kepada kemungkinan pada pandangan Seri Paduka Baginda.

Maka, dalam hal pada hari ini, boleh diputuskan bahawa pada hemat Yang di-Pertuan Agong, tidak ada blok yang telah memperoleh kerusi majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan yang baharu yang sangat diperlukan bagi membawa negara keluar dari ketidaktentuan yang sudah lama berlarutan.

Pun begitu, susulan sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong petang semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipetik media berkata, gabungannya telah menyerahkan dokumen mengandungi akuan berkanun daripada 115 ahli Parlimen kepada Istana Negara, Isnin lalu.

Muhyiddin berkata, dokumen itu dihantar secara dalam talian dan pihaknya juga sudah menerima akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Datuk Nazim Mohd Alim.

Ekoran kedudukan semasa, Yang di-Pertuan Agong juga dilaporkan telah menitahkan cadangan supaya PN dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun Muhyiddin memaklumkan kepada baginda yang PN tidak mahu bekerjasama dengan PH, selari dengan prinsip gabungannya.

Timbul persoalan sama ada angka 115 yang dilaporkan dimiliki oleh Muhyiddin itu termasuk ahli Dewan Rakyat dari Barisan Nasional (BN), yang semalam telah memutuskan tidak akan memihak kedua-dua PN dan PH.

Juga timbul persoalan sama ada ahli Dewan Rakyat individu boleh mengambil pendirian menyokong mana-mana blok, satu kedudukan yang bertentangan dengan ketetapan parti masing-masing.

Malah, wujud tafsiran mengatakan bahawa di bawah sistem pilihan raya semasa, setiap anggota di Dewan Rakyat bertindak sebagai anggota individu, bukannya mewakili parti. Ini satu polemik baharu.

Ini kerana ketika hari penamaan calon, setiap calon yang bertanding sebagai wakil parti dikehendaki mempamerkan watikah daripada parti untuk menggunakan lambang atau simbol parti masing-masing.

Jika begitu, sejauh mana mereka bebas untuk bertindak melanggar ketetapan parti mereka. Pernah ada amalan yang parti-parti politik tidak membolehkan ahlinya mengambil pendirian sendiri, yang bertentangan dengan ketetapan parti, di Parlimen.

Sejauh mana ahli Dewan Rakyat mempunyai kebebasan untuk menyokong mana-mana blok untuk membentuk kerajaan baharu dan pelantikan perdana menteri baharu? Lagi polemik dan persoalan baharu di hadapan kita.

Juga timbul persoalan sama ada perundangan yang melarang lompat parti, yang diluluskan pada Julai lalu, kini menjadi satu lagi kekangan untuk memberi sokongan kepada mana-mana blok secara individu, dan ia bakal membawa kepada tindakan perundangan di pihak parti seperti akan dipecat dan seterusnya boleh kehilangan status sebagai ahli Dewan Rakyat.

Jika status jumlah kerusi dan kedudukan ahli Dewan Rakyat masih kekal kabur, sebagaimana boleh ditafsirkan daripada siri kenyataan media yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak sejak semalam, adakah kita prosedur, tatacara dan peruntukan mengenai proses pelantikan seorang perdana menteri dan pembentukan kerajaan sudah cukup jelas?

Kita sedia maklum bahawa pelantikan perdana menteri secara langsung akan membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan untuk mentadbir negara, yang disokong oleh barisan Jemaah Menteri.

Perkara itu juga menambah peruntukan bahawa “tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi perdana menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baharu itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.”

Selepas PRU15 selesai, bilakah Parlimen ke-15 perlu dan harus bersidang? Perkara 55(4) mengatakan bahawa “Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh (pembubaran).”

Di bawah Perkara 55(1), Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya. Perdana menteri juga perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara ini.

Fungsi dan peranan perdana menteri adalah luas di bawah Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kekangan awal perlu dirungkaikan.

Sekiranya terdapat sebarang isu atau keraguan tentang keyakinan yang dinikmati oleh perdana menteri, maka seperti yang dinyatakan dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, usul tidak percaya boleh dikemukakan. Usul itu harus menjadi agenda pertama urusan Dewan Rakyat selepas pemilihan Speaker disempurnakan.

Perkara ini tidak pernah menjadi amalan utama apabila Dewan Rakyat bersidang selepas PRU. Sebaliknya, jika ada usul tidak percaya dibawa ke Dewan Rakyat, Perkara 43(4) menyebut bahawa “jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Jika usul itu gagal, maka perdana menteri dan Kabinetnya kekal. Sebaliknya, jika ia diluluskan, maka perdana menteri mesti meletakkan jawatan bersama Jemaah Menteri dan proses di bawah Perkara 43(2)(a) akan diulang semula.

Negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi mempunyai tatacara yang berbeza dalam soal pembentukan kerajaan dan pelantikan. Antaranya, United Kingdom (UK), India dan Jepun sebagai contoh. Malaysia dan India mewarisi sistem diamalkan di UK.

Di India, sebagai contoh, perdana menteri dilantik oleh presidennya. Perkara 75 Perlembagaan negara itu mengatakan bahawa perdana menteri hendaklah dilantik oleh presiden dan menteri-menteri lain hendaklah dilantik oleh presiden atas nasihat perdana menteri, peruntukan yang sama seperti di Malaysia.

Seorang ahli sama ada Lok Sabha atau Rajya Sabha boleh dilantik sebagai perdana menteri. Jika dia bukan ahli mana-mana Dewan Parlimen, maka dia perlu dipilih ke mana-mana Dewan dalam tempoh enam bulan selepas pelantikannya.

Mengikuti konvensyen sistem kerajaan parlimen, presiden perlu melantik ketua parti majoriti di Lok Sabha sebagai perdana menteri. Jika, apabila tiada pihak yang mempunyai majoriti jelas dalam Lok Sabha, maka presiden boleh menggunakan budi bicaranya dalam pemilihan dan pelantikan perdana menteri.

Dalam keadaan sedemikian, presiden biasanya melantik ketua parti atau gabungan terbesar di Lok Sabha sebagai perdana menteri dan meminta beliau mendapatkan undi percaya di dewan perundangan dalam tempoh sebulan.

Di negara tersebut, jika mana-mana blok gagal memperoleh kedudukan majoriti mutlak dan membawa kepada parlimen tergantung, ketua negara boleh meminta blok yang mempunyai kerusi terbanyak untuk membentuk kerajaan minoriti dan dengan segera menunjukkan sokongan di dewan perundangan. Jika gagal, pilihan raya baharu akan dipanggil.

Blok-blok utama juga boleh mendapatkan sokongan luar iaitu daripada mana-mana parti yang tidak mahu menyertai kerajaan yang dibentuk dan tidak akan memegang sebarang jawatan Jemaah Menteri.

Kerajaan minoriti ini lazimnya tidak akan melengkapkan mandat penuh kerana mereka boleh runtuh bila-bila masa, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya baharu.

Gabungan pascapilihan raya menjadi amalan di kebanyakan negara jika kemelut dan polemik pembentukan kerajaan tidak dapat dielakkan.

Malaysia telah mengamalkan satu sistem yang tidak pernah teruji selama enam dekad sejak merdeka. Parti Perikatan dan BN, yang menggantikannya sejak selepas PRU 1969, selesa dengan kerangka perundangan yang ada.

Tetapi, keadaan berubah apabila BN kehilangan kerusi di peringkat pusat buat julung kali pada tahun 2018, dan ia menjadi semakin kompleks pada hari ini apabila tidak ada parti, gabungan atau blok yang memperoleh kerusi majoriti atau mutlak di Dewan Rakyat, sehingga menyukarkan pelantikan seorang perdana menteri dan kerajaan baharu selepas PRU15.

Meskipun ada gabungan mendakwa mempunyai 115 kerusi, tetapi pertikaian mengenainya berterusan.

Sementara kemelut semasa berterusan, kita memerlukan sebuah kerajaan untuk membolehkan bajet sementara diluluskan. Selepas itu Parlimen perlu meluluskan belanjawan 2023, yang turut memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Apa yang jelas negara bakal berhadapan dengan satu krisis perlembagaan dengan kemelut dan ketidakstabilan dijangka berterusan. Kita perlu mengambil tindakan proaktif bagi mengelakkan keadaan itu daripada berulang pada masa akan datang.

Oleh itu, sudah tiba masa untuk mengkaji semula peruntukan mengenai kerajaan minoriti, tatacara pelantikan perdana menteri, dan Jemaah Menteri supaya lebih jelas, dan memudahkan semua pemegang taruh.

Dalam perkembangan terkini tengah hari tadi, menurut Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan bahawa semua 30 ahli parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Sudah tiba masa untuk menghuraikan kekaburan awal sebelum kita ke langkah dan proses seterusnya jika mahu memperkasakan sistem demokrasi. Model dan amalan negara lain boleh dijadikan rujukan untuk menjelaskan tatacara semasa.– 23 November, 2022.

* Dr G Manimaran penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen