Parlimen tergantung jejas ekonomi, sentimen pasaran, kata penganalisis


Ravin Palanisamy

Isu pelantikan perdana menteri dan pembentukan kerajaan perlu diselesaikan segera bagi memastikan ekonomi dan sentimen pasaran berada dalam keadaan stabil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

KELEWATAN melantik perdana menteri dan pembentukan kerajaan hanya akan menjejaskan ekonomi dan sentimen pasaran yang sudah meruncing, kata penganalisis politik.

Keputusan pilihan raya umum Sabtu, yang menyaksikan tiada parti atau gabungan memperoleh majoriti mudah, menyebabkan Parlimen tergantung.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN), 73 kerusi. Kedua-dua gabungan itu perlu membentuk pakatan dengan gabungan lain untuk menubuhkan kerajaan baharu.

PH dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 30 kerusi mengadakan perbincangan untuk bekerjasama, namun sehingga kini keputusannya tidak diketahui secara rasmi.

Semalam, Pengerusi PH Anwar Ibrahim, selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkata belum ada keputusan dibuat lagi.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang turut menghadap Agong kemudian memberitahu pemberita yang mereka tidak akan bekerjasama dengan PH.

Kekalutan dijangka berterusan hari ini apabila ahli Parlimen BN menghadap raja. Istana berkata ini akan membolehkan Agong memutuskan siapa yang akan dilantik sebagai perdana menteri ke-10 selepas bertemu dengan mereka secara individu.

Penyelidik berkata krisis pasca pilihan raya dan perkembangan politik terkini tidak membantu ekonomi atau sentimen pasaran.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata ketidaktentuan ekonomi diunjurkan berterusan sehingga kerajaan dibentuk.

“Kelewatan melantik perdana menteri dan ketiadaan sebarang garis masa menjejaskan keyakinan pasaran secara negatif,” katanya.

“Terdapat ketidakpastian mengenai gabungan mana yang mampu membentuk kerajaan. Saya rasa semakin lama penangguhan, semakin rendah keyakinannya.

“Pasaran kewangan tempatan akan bertindak balas kepada situasi politik apabila ia menjadi lebih jelas. Ia lebih suka menunggu sehingga ada jaminan kerajaan yang dibentuk adalah mesra pasaran, dengan dasar stabil yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi.”

Pemerhati politik berkata Anwar Ibrahim perlu mendapatkan satu parti teras Melayu untuk menyokong kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

Dilaporkan pasaran saham dan mata wang Malaysia merosot selepas pilihan raya.

Pada Isnin, ringgit jatuh hampir 0.8% berbanding dolar AS pada awal dagangan sebelum pulih sedikit semalam, ketika pasaran mempertimbangkan kemungkinan tempoh ketidakstabilan politik yang berlarutan.

Indeks penanda aras Kuala Lumpur juga jatuh.

Profesor pengajian Asia Universiti Tasmania, James Chin juga sependapat dengan Tunku Mohar, dengan berkata krisis itu perlu diselesaikan segera.

Chin percaya negara boleh lebih terjejas dan, oleh itu, tidak sepatutnya isu pelantikan perdana menteri dipanjangkan.

“Paling utama, Agong menyedari baginda perlu menyelesaikannya dengan cepat kerana pasaran akan menjadi sangat tidak stabil,” katanya.

“Keadaan semasa di Malaysia sudah teruk dan ia tidak boleh memanjangkannya lagi.”

Chin mendakwa Anwar perlu mendapatkan sokongan parti Melayu untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Agong percaya Anwar boleh menyatukan pakatan paling cepat dan itulah sebabnya baginda memberi peluang kepada Anwar,” katanya.

“Jadi kini tanggungjawab itu beralih kepada Anwar, dan pada pendapat saya, beliau kini perlu mendapatkan satu parti teras Melayu untuk menyokong kerajaan perpaduan. Jika tidak, ia mungkin tidak berfungsi.”

Pada Isnin, Anwar berkata gabungan itu sedang berusaha untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan BN demi kestabilan negara.

Bagaimanapun, tiada keputusan muktamad dicapai. – 23 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen