Pengarah JSJ tidak buat salah, akan tetap bertugas, kata KPN


Muzliza Mustafa

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Pengarah JSJ Wan Ahmad Najmuddin Mohd akan meneruskan tugasnya seperti biasa walaupun sedang disiasat oleh SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2018.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Wan Ahmad Najmuddin Mohd akan meneruskan tugasnya seperti biasa walaupun kini menjadi subjek siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Wan Ahmad menjadi perhatian minggu lalu selepas Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan polis Australia merampas AU$320,000 (RM875,961) daripada akaun banknya di Sydney, yang dipercayai hasil pengubahan wang haram atau jenayah.

“Hak mereka (SPRM) untuk siasat. Saya tidak ada komen,” kata Fuzi ketika ditemui pada satu majlis di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pagi tadi.

Wan Ahmad tidak hadir pada program itu.

Fuzi mempertahankan pegawainya dengan berkata tidak ada sebab untuk menarik tugasnya sebagai pengarah JSJ, kerana beliau tidak melakukan kesalahan.

“Ini bukan hal JSJ. Masalahnya ialah dengan transaksi yang beliau tidak tahu.

“Beliau mengamanahkan pihak ketiga untuk membuat transaksi itu,” kata Fuzi.

Fuzi berkata beliau menghubungi pihak berkuasa Australia berkenaan perkara itu tetapi masih belum menerima maklum balas.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Wan Ahmad selepas seorang pemberi maklumat membuat laporan dengan suruhanjaya itu semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM Azam Baki memberitahu theSun bahawa pengadu berkenaan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, maka identiti individu berkenaan tidak boleh didedahkan.

Azam berkata pegawai penyiasat SPRM akan ke ibu pejabat polis Bukit Aman dan bekerjasama dengan polis Australia bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kes itu.

Dua hari lalu, Azam berkata SPRM tidak akan melancarkan siasatannya kecuali ada laporan yang menyokong dengan bukti mencukupi berhubung salah laku atau salah guna kuasa dilaporkan oleh mana-mana individu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low yang bertanggungjawab memantau kegiatan anti rasuah di negara ini berkata SPRM perlu menyiasat kes itu.

Fuzi dalam satu kenyataan pada 3 Mac berkata wang $320,000 (RM970,000) yang dirampas pihak berkuasa Australia kerana disyaki hasil pengubahan wang haram, adalah hasil penjualan rumahnya di Shah Alam bernilai RM700,000.

“Wang itu diberikan kepada rakan rapat untuk memasukkan wang tunai ke akaun banknya di Australia.

“Wan Ahmad sudah memberikan semua dokumen yang diperlukan untuk membuktikan sumber wang itu,” kata Fuzi dalam kenyataan berkenaan. – 6 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • SPRM hanya menjalankan tugas mereka. Memandangkan tiada salah laku dalam transaksi tersebut, tidak ada sebab untuk pengarah JSJ ditarik tugas. Lagipun Australia ada undang-undang mereka sendiri. Kita kena hormati procedure mereka.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Geng3 ketuanan mana boleh buat salah

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan