Tolak kerajaan perpaduan, adakah tindakan Muhyiddin tepat?


Alfian Z.M. Tahir

Muhyiddin Yassin mengulang pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

KEPUTUSAN Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH) boleh dilabel sebagai pemberontakan, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin wajar menghormati permintaan Agong dalam usaha mencari penyelesaian segera bagi menamatkan kebuntuan politik.

Pada sidang media selepas mengadap Agong semalam, Muhyiddin berkata Yang di-Pertuan Agong mencadangkan untuk PN bekerjasama dengan PH namun beliau menolak.

“Kami sudah bincang perkara itu sejak awal lagi kami tidak akan bekerjasama dengan PH. Itu pendirian parti kita sejak dulu sampai ke hari ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau menjelaskan PN sudah menyerahkan akuan bersumpah (SD) 115 ahli Parlimen terpilih yang mendukung gabungan itu jadi kerajaan, dan diakui diterima oleh setiausaha sulit kanan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan terkini, Agong menitahkan kesemua 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengadap di Istana Negara pagi ini untuk membolehkan baginda memutuskan pelantikan seorang perdana menteri selepas pilihan raya umum, Sabtu lalu.

Hisomuddin berkata rakan gabungan PN iaitu PAS pernah mencadangkan penubuhan konsep kerajaan perpaduan antara PN dan BN bagi menamatkan kemelut ketika tahun 2020 tapi kali ini mereka tidak dapat terima idea itu.

“Ini salah satu bentu ‘sembah derhaka’terhadap raja yang mahu melihat kerajaan perpaduan bagi memastikan negara boleh maju ke depan.

“Dulu itu idea PAS yang kata negara patut ada kerajaan perpaduan antara BN dan PN tetapi bila dengan PH, kenapa mereka tak boleh buat benda yang sama?” katanya.

Beliau berkata penolakan PN itu boleh menghantar mesej yang salah kepada rakyat.

“Ini boleh menunjukkan orang politik hanya mahu mengejar kuasa. Bukan nak tolong tambah baik negara. Mereka utamakan kuasa bukan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Semalam, Agong menerima mengadap Muhyiddin dan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim ke istana setelah tiada gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Pada 2020, istana memanggil 22 ahli Parlimen BN dan PH untuk sesi temu bual secara individu bagi melantik perdana menteri baharu susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

30 Ahli Parlimen BN akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, pagi ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

Muhyiddin bersikap realistik

Namun Pengarah Program Penyelidikan Iman Badrul Hisyam Ismail tidak bersetuju dengan pandangan Hisomuddin.

Katanya, Muhyiddin pasti tahu hakikat PN tidak akan dapat bekerjasama dengan PH sebagai rakan dalam kerajaan baharu sebelum menolak cadangan Agong.

Namun Badrul bingung dengan kaedah Agong yang sekali lagi memanggil 30 ahli Parlimen BN untuk sesi temu bual itu.

“Saya fikir Muhyiddin bersikap realistik. Beliau tahu wakil rakyatnya tidak boleh bekerja dengan PH, jadi kenapa nak bazir masa mencari jalan penyelesaian apabila pada akhirnya mereka akan menentang dan tidak setuju dengan dasar negara?

“Jadi saya tidak fikir itu langkah pemberontakan. Tapi sudah tentulah terlepas peluang mereka tidak boleh bekerjasama. Untuk PN mungkin tak boleh lagi nak patah balik.

“Panggil ahli Parlimen lagi untuk temu bual itu tak masuk akal. Agong sepatutnya boleh panggil ketua parti untuk nyatakan pendirian. Mengumpulkan SD itu sudah lapuk selepas penguatkuasaan undang-undang lompat parti.

“Semua keputusan dibuat melalui blok, bukannya individu lagi,” jelasnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 Sabtu lalu, PH menang 82 kerusi, PN menang 73 kerusi dan BN hanya memperoleh 30 kerusi.

Sementara Gabungan Parti Sarawak menyapu 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Bebas (2). – 23 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen