Perikatan tidak akan kerjasama dengan Pakatan, kata Muhyiddin


Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan ketika menyerahkan surat akuan berkanun kepada Istana Negara.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) “atas tujuan apa sekali pun”, termasuk untuk membentuk kerajaan perpaduan, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin mendedahkan Yang di-Pertuan Agong mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan dibentuk, selepas tiada mana-mana gabungan parti politik mempunyai majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Jelas Muhyiddin, soal kerajaan perpaduan memang sudah dibincangkan di peringkat parti sebelum ini dan PN sejak lama sudah memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PH.

“Itu pendirian parti kita sejak dulu sampai ke hari ini, atas tujuan apa sekali pun… unity ke apa sama sekali, kita tetap tidak bersetuju,” katanya, bercakap kepada pemberita di luar kediamannya di Kuala Lumpur.

Beliau berjumpa wartawan selepas majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang tadi.

Muhyiddin juga memberitahu beliau diminta menandatangani satu dokumen mengenai pembentukan kerajaan perpaduan.

“Saya sign, saya kata tidak bersetuju,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan, setakat semalam, ketika PN menyerahkan dokumen yang diminta untuk proses menamakan perdana menteri selepas pilihan raya, gabungan itu mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Jelas Muhyiddin, PN semalam menyerahkan surat akuan berkanun 115 ahli parlimen yang terpilih yang mendukung gabungan itu jadi kerajaan, dan diakui diterima oleh setiausaha sulit kanan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sebab itu kami yakin kami sewajarnya dilantik sebagai kerajaan. Bagaimana kami diberitahu bukti ini tidak mencukupi,” katanya.

Esok, Yang di-Pertuan Agong dijadual menerima mengadap 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan proses pelantikan perdana menteri yang baharu.

Barisan Nasional yang menang 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 memutuskan untuk kekal sebagai pembangkang dan tidak bersama dengan PN atau PH untuk membentuk kerajaan.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata tiada seorang pun daripada 30 ahli parlimennya telah menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

BN juga dilapor sedia membuat perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan mana-mana kerajaan minoriti, seperti memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik antara PH dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Awal hari ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan sebuah kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS, dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang disifatkan “mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia” pelbagai kaum dan agama.

GPS mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat sementara GRS 6 kerusi.

Pada pilihan raya umum Sabtu lalu, PH yang menang 83 kerusi muncul gabungan dengan kerusi terbanyak diikuti PN 73 kerusi.

Kedua-duanya memerlukan dukungan gabungan dan parti politik lain untuk mencapai 112 majoriti mudah bagi membentuk kerajaan di Parlimen.– 22 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen