SEKUMPULAN Ketua Bahagian Umno berkata sebarang gabungan Barisan Nasional (BN) dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan perlu dirunding dahulu di peringkat dalaman sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ketua Umno Bahagian Batu Yahya Abas Mat Ghani berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh bertindak sesuka hati dalam menentukan sebarang gabungan kerana ia memerlukan persetujuan ramai pihak termasuk Ahli Parlimen BN yang lain.
“Kita juga buat ketetapan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu bahawa kita tolak Anwar Ibrahim dan Pakataan Harapan (PH). Tidak kepada Anwar dan DAP.
“Itu ketetapan dalam PAU, jadi kalau apa-apa gabungan nak buat dengan PH, PN (Perikatan Nasional), seharusnya bawa berunding sesama kita dan seharusnya presiden bawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dahulu, Mesyuarat BN dan bincang dengan Ahli Parlimen BN.
“Malah kalau perlu bersama PH sekalipun presiden kena buat semula PAU Khas sebab keputusan sebelum ini (Tidak kepada Anwar dan DAP) dibuat semasa PAU,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini yang turut dihadiri sekumpulan Ketua Bahagian Umno.
Menurut Yahya kebanyakan Ketua Bahagian Umno juga sepakat dan lebih rela untuk menjadi pembangkang daripada bergabung dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa mendakwa majoriti Ketua Bahagian Umno juga mahu Ahmad Zahid mengundur diri sebagai Presiden Umno untuk meneruskan perjuangan parti dengan lebih baik.
Annuar berkata walaupun Umno meletakkan 80 peratus muka baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15, namun rakyat masih menolak calon tersebut kerana tidak mahukan pemimpinnya iaitu Ahmad Zahid.
“Kenapa calon kita ditolak? Kerana yang memimpin Umno itu Ahmad Zahid, bukan parti yang ditolak sebab itu gelombang Melayu tak pergi kepada PH tapi pergi kepada PN.
“Ini kena terima hakikat kekalahan kita kerana Presiden menguasai parti bukan ‘poster boy’ (Ismail Sabri Yaakob) dan Zahid kena terima hakikat beliau adalah liabiliti kepada Umno.
“Benda pahit nak sebut tetapi demi kelangsungan Umno, Ahmad Zahid kena undur kerana rakyat tolak Umno kerana lihat pemimpin Umno tak ada kekuatan untuk tolak pemimpin yang tercemar,” katanya. – Bernama, 21 November, 2022.
Komen