Pilih PH atau PN, BN putuskan esok kata MCA, MIC


Ravin Palanisamy

Wee Ka Siong memberitahu pemberita keputusan muktamad bakal dibuat esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 November, 2022.

KETIKA Perikatan Nasional (PN) mendakwa memiliki bilangan sokongan Ahli Dewan Rakyat yang cukup bagi mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, komponen Barisan Nasional (BN) – MIC dan MCA memberitahu mereka masih belum memutuskan mahu bekerjasama dengan sesiapa untuk membentuk kerajaan.

Perkara itu didedahkan Presiden kedua-dua parti, Wee Ka Siong dan SA Vigneswaran selepas mesyuarat Majlis Tertinggi BN, hari ini.

“Kami perlu lihat dari segala kemungkinan. Jadi untuk sekarang,masih belum ada kata putus. Kami akan buat keputusan esok,” kata Ka Siong kepada pemberita.

Sementara itu, Vigneswaran berkata keputusan BN sebagai satu gabungan lebih signifikan.

“MIC hanya ada satu kerusi. Jadi lebih signifikan jika kita buat keputusan secara konsensus melalui BN,” katanya.

Menurutnya juga, mereka masih belum memutuskan gabungan yang mana antara Pakatan Harapan (PH) dan PN.

“Kami akan ikut BN (Majlis Tertinggi) dan keputusan itu mungkin dibuat esok,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin mendakwa PN telah mengemukakan lebih 112 surat akuan berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Katanya, angka itu lebih daripada yang diperlukan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk melantik perdana menteri dan menubuhkan kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi PHAnwar Ibrahim berkata sedang berusaha untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) untuk kestabilan negara.

PN menang 73 kerusi manakala PH menang 82 kerusi pada PRU15, Sabtu lalu dan kedua-dua gabungan ini perlu mencari pakatan untuk menubuh kerajaan baharu. – 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen