Dakwaan Perikatan ada sokongan 112 ahli Parlimen tidak benar, kata Anwar


Ravin Palanisamy Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata dakwaan Perikatan Nasional tidak benar kerana rundingan antara parti politik masih lagi berjalan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 November, 2022.

PENGERUSI Pakatan Harapan Anwar Ibrahim mendakwa bahawa angka yang dikeluarkan oleh Perikatan Nasional (PN) tidak boleh betul kerana rundingan masih berjalan.

“Tidak betul. Saya katakan dengan jelas,” kata Anwar, yang kelihatan sangat yakin apabila ditanya pemberita.

Terdahulu semasa sidang media, presiden PKR itu juga berkata PN perlu mengemukakan bukti bagi dakwaan tersebut.

“Itu dakwaan mereka,” katanya ringkas.

Terdahulu, Hamzah Zainudin berkata gabungan itu telah mengemukakan lebih 112 akuan berkanun (SD) daripada ahli Parlimen untuk menyokong pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Setiausaha agung PN itu berkata bilangan SD adalah lebih daripada 112 yang diperlukan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melantik perdana menteri membentuk kerajaan.

PN memenangi 73 kerusi pada pilihan raya umum Sabtu dan perlu membentuk pakatan dengan gabungan lain untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Pakatan Harapan (PH), yang memenangi 82 kerusi, juga melakukan langkah serupa.

PH dan Barisan Nasional (BN), yang mempunyai 30 kerusi, mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dengan keputusan muktamad yang belum diketahui secara rasmi. – 21 November, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen