PENYANDANG Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev mendahului pilihan raya presiden dengan lebih 80% undi, menurut tinjauan.
Tinjauan yang dijalankan Open Society International Institute for Regional Studies mendapati Tokayev menerima 82.45%, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu lagi tinjauan yang dibuat Institut Dasar Awam di 600 pusat mengundi menunjukkan 85.52% pengundi memilih Tokayev.
Sementara itu, tinjauan oleh Institut Penyelidikan Sosial Komprehensif di 379 pusat mengundi di seluruh negara, menunjukkan Tokayev jauh mendahului lima calon lain dengan 82.02% undi.
Pengundian akan ditutup pada 10 malam waktu Astana (1600GMT).
Menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Kazakhstan, setakat 10 malam peratusan keluar mengundi melebihi 69% dengan hampir 8.3 juta daripada kira-kira 12 juta pengundi yang layak sudah mengundi.
Pilihan raya kali ini menyaksikan penyandang Presiden Tokayev dicabar lima calon lain untuk menjadi presiden ketujuh negara itu.
Tokayev mengambil alih jawatan presiden pada Mac 2019 menggantikan Nazarbayev yang memerintah negara Asia Tengah yang kaya dengan minyak itu selama tiga dekad.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Kazakhstan, paling awal keputusan dijangka diumumkan pada Isnin dan Selasa.– Bernama, 21 November, 2022.
Komen