TERLIBAT dalam kemalangan April lalu, seorang pengguna jalan raya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) kerana enggan membayar ganti rugi kerosakan kenderaannya.
Mohd Rhidduan Philips Abdullah berkata MDHS enggan membayar tuntutan RM24,646.40 kerana kejadian berlaku pada hari cuti am.
“Saya boleh terima alasan MDHS sekiranya perlu masa untuk bermesyuarat, melantik kontraktor untuk baiki kerosakan ini, tetapi saya pertikai dan menyoal kegagalan MDHS gagal meletak kon atau sebarang tanda amaran.
“Ia supaya pengguna jalan ini akan lebih waspada terhadap bahaya lubang sebesar ini,” kata Penasihat Pertubuhan Kolaborasi Kebajikan dan Sosial Usahawan Malaysia (KESUMA) kepada The Malaysian Insight yang sudah mengenalpasti peguam untuk tindakan undang-undang.
Pada 17 April lalu, kereta BMW 730 Li yang dipandu usahawan itu melanggar lubang sedalam 4 inci dengan lebar 1 kaki dan panjang 2 kaki di jalan Persiaran Automatif, Hulu Selangor sehingga menyebabkan dua tayar koyak dan pancit.
Satu laporan polis di buat pada hari sama bagi melaporkan kegagalan MDHS menurap jalan tersebut selain meletakkan kon tanda amaran untuk mengelakkan kemalangan menimpa pengguna jalan raya.
Lebih kesal katanya, tiada tindakan dibuat MDHS meskipun lubang tersebut telah dilaporkan NGO Kelab motor Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) pada 29 Jun 2016, dan sebulan sebelum kemalangan.
Pengguna perlu bangkit tuntut ganti rugi
Tidak mahu masyarakat tertindas, Riddhuan mengajak masyarakat bangkit menuntut ganti rugi kepada PBT sekiranya mengalami nasib sama sepertinya.
Tegasnya, pengguna jalan raya cuma perlu mengetahui saluran dan cara yang betul agar tidak ditindas pihak berkuasa apatah lagi jika kemalangan adalah disebabkan kecuaian PBT.
“Saya boleh guna wang insurans (kereta) atau waranti (tayar) tetapi kenapa saya hendak habisan waranti saya untuk kesalahan orang lain.
“Kita perlu beri satu kejutan pada MDHS yang leka. Kalau begini mereka (kerajaan negeri) perlu tukar orang lain. Orang pegang jawatan sekarang tidak boleh pakai (tiada tanggungjawab),” katanya lagi.

Beri tempoh masa
Ridduan berkata, pihaknya masih memberi tempoh masa kepada MDHS melunaskan tuntutan gantirugi mala beliau akan bertemu Yang Dipertua Majlis, Noraini Roslan pada Jumaat, 2 Jun ini.
“Kita kena bagi dia tempoh bertenang. Saya ada strategi saya. Saya ikut saluran bermula dengan buat laporan polis. Ambil gambar sebagai bukti. Dan untuk bertindak, semestinya kita ikut saluran undang-undang.
Tambahnya, satu surat aduan sudah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pada 24 Mei untuk masuk campur dalam kes ini.
Riddhuan turut mendedahkan jawapan bertulis daripada MDHS bertarikh 15 Mei 2017 menyatakan tidak dapat mempertimbangkan bayaran ganti rugi tersebut.
Surat yang ditandatangi Pengarah Jabatan Kejuruteraan MDHS, Mohd Azda Nordin memberi alasan tiada sebarang projek kerja jalan sedang dalam perlaksanaan di lokasi kemalangan.
“Pejabat ini hanya boleh mempertimbangkan tuntutan sekiranya kerosakan kenderaan berlaku keranan kecuaian pihak kontraktor MDHS yang sedang atau dalam tempoh membuat kerja binaan di kawasan awam terlibat hingga menyebabkan berlaku kemalangan,”kata surat tersebut.
Tinjauan The Malaysian Insight juga mendapati jalan berlubang di sekitar Hulu Selangor sudahpun diturap termasuk jalan Persiaran Automatif yang menyebabkan kemalangan pengadu.
MDHS lambat bertindak
Sementara itu, Brotherhood Rawang memberitahu semenjak kebelakangan ini semua jalan berlubang banyak sudah diturap.
Namun begitu, Mohammad Aizat Sulaiman, 27, kesal pihak MDHS yang hanya melaksanakan pembaikan selepas berbulan-bulan aduan dibuat.
“Jalan sekarang ini banyak sudah berturap tapi itulah aduan yang saya buat sebenarnya dah berbulan lamanya.
“Lagi (pun) jalan berturap sekejap sahaja tak kekal dan lepas itu berlubang semula. Saya dalam seminggu buat aduan dua ke tiga (kali tentang) lubang jalan,” katanya.
Tambahnya, jalan berlubang itu membahayakan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal.
“Di kawasan ini banyak kilang dan pekerja kebanyakkannya memakai motosikal untuk kerja. Mereka yang paling berisiko jika terlanggar jalan berlubang ini,” tambah Aizat yang merupakan penternak ayam.
Kerana itu, Aizat sebagai wakil Brotherhood Rawang mengambil inisiatif menutup lubang jalan yang membahayakan
“Untuk tutup lubang ini ambil masa tidak sampai tiga minit. Tar turapan sejuk ini NGO kami sering gunakan. Untuk berat 25 kg ini hanyalah RM35,” katanya yang sedang menutup lubang di Jalan Persiaran Prima Beruntung, Hulu Selangor.
The Malaysian Insight dalam proses menghubungi MDHS bagi mendapatkan maklum balas. – 1 Jun, 2017.
Komen