China lapor kematian pertama Covid-19 sejak Mei tahun ini


China melaporkan kematian seorang lelaki berusia 87 tahun di Beijing pada semalam sebagai kematian pertama akibat Covid-19 dalam tempoh enam bulan. – Gambar AFP, 21 November, 2022.

CHINA melaporkan kematian seorang lelaki berusia 87 tahun di Beijing pada semalam sebagai kematian pertama akibat Covid-19 dalam tempoh enam bulan, dengan kes meningkat walaupun polisi sifar Covid yang ketat.

Ekonomi utama terakhir yang masih berpegang kepada dasar tanpa toleransi terhadap virus itu, China menguatkuasakan sekatan segera, ujian besar-besaran dan kuarantin walaupun seluruh dunia menyesuaikan diri dengan hidup bersama Covid.

Pegawai perbandaran semalam mengumumkan lelaki itu meninggal dunia di ibu negara. Mereka juga berkata 621 kes tempatan baharu dikesan di Beijing.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan juga berkata ia merekodkan lebih 24,000 jangkitan tempatan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Walaupun jumlahnya rendah berbanding kebanyakan negara lain, pengumuman terbaru itu menyusuli peningkatan kes di China baru-baru ini selepas beberapa bulan jangkitan dilaporkan.

Pengumuman itu juga dibuat selepas Beijing mengisytiharkan pelonggaran langkah koronavirus yang paling ketara setakat ini pada 11 November.

Antara langkah untuk melonggarkan kawalan adalah pengurangan tempoh kuarantin wajib bagi ketibaan antarabangsa.

Beberapa hari kemudian beberapa bandar di China membatalkan ujian Covid besar-besaran, meningkatkan harapan untuk pembukaan semula.

Tetapi kelonggaran terhad itu tidak menandakan kembalinya semula kes sifar-Covid yang menyebabkan China terpencil di peringkat antarabangsa, mendatangkan malapetaka ke atas ekonomi dan mencetuskan protes.

Taman, gimnasium ditutup

Beijing dalam beberapa hari kebelakangan ini menguatkuasakan perintah berkurung untuk beberapa penduduk di rumah mereka dan mengarahkan yang lain ke pusat kuarantin.

Lebih 8,000 kes harian baharu dilaporkan di Guangzhou semalam, mendorong pegawai melancarkan saringan Covid am di daerah tengah Haizhu yang menempatkan kira-kira 1.8 juta orang.

Guangzhou menjadi lokasi protes dan pertempuran dengan polis minggu lalu berhubung perintah sekatan yang dikuatkuasakan.

Beberapa pusat beli-belah terbesar di Beijing ditutup semalam manakala yang lain mengurangkan tempoh ia dibuka atau melarang makan di kedai.

Beberapa pejabat di hab perniagaan dan diplomatik Daerah Chaoyang meminta syarikat memberitahu pekerja untuk bekerja dari rumah.

Beberapa taman dan gimnasium juga ditutup.

Jumlah kes “menunjukkan peningkatan yang ketara”, kata jurucakap perbandaran Beijing Xu Hejian semalam. – AFP, 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen