Giliran Khairy desak Zahid letak jawatan


Alfian Z.M. Tahir

Khairy Jamaluddin tewas dengan majoriti tipis di tangan calon PH, Ramanan Ramakrishnan bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

BEKAS ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menjadi ahli terbaharu Umno menggesa peletakan jawatan Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas menteri kesihatan itu yang tewas semalam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuat ciapan dalam Twitter reformasi Umno perlu digerakkan semula, justeru presiden mesti meletakkan jawatan.

“Dalam peperangan, jeneral bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusannya, lebih-lebih lagi selepas ramai orangnya sendiri mati dalam pertempuran.

“Presiden mesti meletakkan jawatan sekarang. Pembaharuan Umno tidak boleh ditangguhkan,” kata Khairy.

Khairy yang bertanding di kubu kuat PKR di Sungai Buloh tewas kepada Ramanan Ramakrishan menerusi majoriti tipis.

Beberapa pemimpin Umno sudah melepaskan jawatan masing-masing sekali gus mendesak Zahid melakukan perkara yang sama.

Noh Omar meletak jawatan sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Selangor selepas hilang keyakinan terhadap Zahid.

Bekas ahli Parlimen Tanjung Karang itu memberitahu pemberita beliau memutuskan untuk mengundur diri selepas Zahid menggugurkannya sebagai calon pada PRU15.

Beliau berkata ia menandakan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya di peringkat negeri dan berkata, Zahid juga harus melakukan perkara sama selepas kekalahan teruk dialami parti itu.

MCA dan MIC turut menyertai gesaan supaya pengerusi Barisan Nasional (BN) itu melepaskan jawatannya susulan prestasi memalukan gabungan itu pada PRU15 semalam.

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menyatakan partinya hilang keyakinan terhadap Zahid dan memintanya memberi laluan kepada muka baharu untuk mengetuai gabungan itu.

Bekas naib presiden MIC C Sivarraajh turut menggesa Zahid supaya “berehat dan memberi laluan kepada orang lain untuk memimpin.”

“Lakukan perkara yang betul tuan. Anda sahabat saya tapi saya fikir anda perlu memberi peluang kepada pemimpin lain. Ia satu mesej jelas daripada rakyat Malaysia. Tolonglah berehat tuan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter.

Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy berkata, Zahid mesti meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN dan presiden Umno dan bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk gabungan itu pada PRU15. – 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen