MUHYIDDIN Yassin yakin beliau akan mendapat sokongan mencukupi di kalangan ahli Parlimen yang akan membuka ruang kepada Yang di-Pertuan Agong melantik beliau sebagai perdana menteri ke-10.
Kenyataan beliau dibuat selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong pengerusi Perikatan Nasional itu dilantik sebagai perdana menteri.
Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mesyuarat majlis tertinggi parti itu hari ini.
Beliau berkata Pengerusi GPS Abang Johari Openg, menyatakan kesediaan untuk menyokong beliau dalam usaha PN untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
“Saya juga bertemu dengan Pengerusi GRS Hajiji Noor yang berkata gabungan Sabah akan menyokong PN dan memberi sokongan kepada beliau untuk menjadi perdana menteri ke-10,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhyiddin berkata beberapa ahli Parlimen lain sudah memberikan komitmen yang sama kepadanya.
Bagaimanapun, dalam kenyataannya, beliau tidak menyebut Barisan Nasional yang menurut GPS sebelum ini bergabung untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Terdahulu di Kuching, Abang Johari berkata ia menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan berkata ia sedang membentuk gabungan dengan Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah.
Pengerusi GPS berkata gabungan itu mahukan kerajaan Persekutuan yang kukuh dan stabil untuk menghadapi cabaran ekonomi yang akan datang; dalam masa yang sama melindungi kesejahteraan rakyat termasuk kebebasan beragama.
“Pilihan kami untuk perdana menteri ialah Muhyiddin Yassin,” kata Premier Sarawak itu pada sidang media di Kuching hari ini.
Tanpa BN, gabungan PN, GPS, dan GRS hanya mempunyai 101 kerusi di Parlimen.
Gabungan itu masih kekurangan 11 kerusi untuk mendapat majoriti mudah 112 kerusi di Dewan Rakyat. – 20 November, 2022.
Komen