GPS sertai Perikatan, BN dan GRS bentuk kerajaan Persekutuan


Abang Johari Openg berkata, GPS mahukan kerajaan Persekutuan yang akan kukuh dan stabil untuk menghadapi cabaran ekonomi yang akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

GABUNGAN Parti Sarawak menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan berkata ia sedang membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah, kata Abang Johari Openg.

Pengerusi GPS itu berkata gabungan itu mahukan kerajaan persekutuan yang akan kukuh dan stabil untuk menghadapi cabaran ekonomi yang akan datang; dalam pada masa yang sama melindungi kesejahteraan rakyat termasuk kebebasan beragama.

“Pilihan kami untuk perdana menteri ialah Muhyiddin Yassin,” kata Premier Sarawak itu pada sidang media di Kuching hari ini.

Johari mendakwa kedua-dua blok Borneo termasuk GRS bersetuju menyokong kerjasama itu.

Johari juga berkata kerjasama itu adalah berdasarkan kepada mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 – termasuk menegakkan kebebasan beragama di Sarawak, autonomi dalam hal pendidikan dan kesihatan, dan isu-isu lain berkaitan kepentingan wilayah itu.

“Rakyat memberi mandat dan kini menjadi tugas kita membentuk kerajaan berdasarkan mandat yang kita terima.

“Tahun depan adalah tahun kemelesetan. Kita mesti memberi kepentingan kepada negara dan rakyat,” kata Johari.

Johari mengadakan sidang media beberapa jam selepas catatan Facebook Muhyiddin yang menunjukkan pertemuan antara beliau dan pemimpin PN.

Kekuatan gabungan itu akan membentuk sejumlah 131 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum semalam, Perikatan Nasional dan PAS masing-masing memenangi 51 dan 22 kerusi, dengan jumlah gabungan 73 kerusi.

BN memenangi 30 kerusi, manakala GPS mendapat 22 kerusi dan GRS (6).

Pakatan Harapan menang 82 kerusi sementara Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Bebas (2). – 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen