Husam cadang Pakatan gabung dengan BN


Diyana Ibrahim

Husam Musa, gabungan BN dan PH boleh meredakan kebimbangan rakyat tentang dominasi DAP dengan pertambahan jumlah ahli Parlimen Melayu dari Umno ke dalam kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

HUSAM Musa mencadangkan Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah.

Katanya, gabungan itu juga boleh meredakan kebimbangan rakyat tentang dominasi DAP dengan pertambahan jumlah ahli Parlimen Melayu dari Umno ke dalam kerajaan.

Husam percaya jika PH dan Umno bersama maka ia akan dapat menarik parti lain ikut serta dalam gabungan baharu tersebut.

“PH memiliki  82 kerusi . Ia wajar diberi tugas sebagai tonggak pemerintahan. Umno-BN mempunyai 30 kerusi gabungan; keduanya sudah menghasilkan majoriti mudah,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Dalam PRU15 semalam, PH menang 82 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) menang 73 kerusi. 

Kedua-dua gabungan sedang berunding dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Tambah Husam lagi, usaha membentuk kuasa antara dua parti lebih mudah termasuk untuk membina kabinet lebih kecil.

“BN lebih diraikan berbanding PN dan gabungan lain lebih rencam dan rumit. BN tidak akan menerima komposisi besar dalam dalam kabinet kerana banyak komponen.

“Jajaran kuasa PH dan BN juga tidak bertembung dalam kawasan pilihan raya.

“Berbanding dengan PN, PAS dan Bersatu akan halang kebangkitan BN,” katanya.

Katanya lagi kerajaan Pahang yang kini masih tergantung dapat dibentuk dengan mudah antara PH dan BN.

Selain itu beliau berkata, Umno perlu mengambil kira insiden lepas apabila presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengisytiharkan parti itu sebagai musuh mereka.

Beliau juga mengingatkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob juga sebelum ini pernah membuat kenyataan ada menteri dari PN menikam beliau dari belakang. – 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen